Kelab-kelab di Liga Perdana Inggeris sudah membelanjakan lebih daripada £1 billion pada jendela perpindahan musim panas ini.
10 kelab telah memecahkan rekod pembelian mereka sebelum ini dan jumlah transaksi dijangka akan meningkat sehingga 31 Ogos akan datang.
Ini merupakan musim panas ketika jumlah yang dibelanjakan oleh kelab-kelab Inggeris mencecah angka £1 billion. Malah rekod perbelanjaan baharu akan direkodkan jika kadar perbelanjaan sekarang diambil kira.
Bila masakah kita pernah melihat kelab-kelab utama di Inggeris berjimat cermat dalam pelaburan ke atas pemain.
Artikel ini menyingkap kembali pembelian paling berjimat yang pernah dilakukan oleh 6 kelab utama di England sejak musim panas 2000.
1. Arsenal
Musim panas: 2003/04
Jumlah perbelanjaan: £3.1 juta
Pemain Masuk:
Philippe Senderos (£1.35 juta, Servette)
Jens Lehmann (£1.5 juta, Dortmund)
Johan Djourou (Percuma, Étoile Carouge)
Gaël Clichy (£250,000, Cannes)
Cesc Fàbregas (Percuma, Barcelona)
Apakah yang berlaku seterusnya?
Arsenal melalui musim yang sangat hebat. Ia adalah pencapaian yang dianggap luar biasa dalam sejarah bola sepak dunia.
Arsene Wenger membawa pemain-pemian yang kurang dikenali pada musim panas 2003, dan menjadikan skuad Arsenal pada musim 2003/2004 sebagai ‘Invincibles’ dengan rekod tanpa kalah dalam kesemua 38 perlawanan liga untuk mucul juara dengan kelebihan 11 mata.
Wenger tentu mahu berterima kasih kepada Jens Lehmann yang beraksi di kesemua perlawanan EPL, Champions League dan Piala FA selepas tiba dari Borussia Dortmund dengan tanda harga hanya £1.5 juta, sebelum ketibaan Philippe Sanderos dan akhirnya Gael Clichy yang menjadi pemain terakhir tiba dengan yuran perpindahan pada musim tersebut.
Selepas Johan Djourou, Cesc Fabregas tiba dari Barcelona, kedua-duanya tiba sebagai prospek dan terus mendapat peluang untuk bersama dengan skuad utama Arsene Wenger.
Fabregas kembali menyertai Barcelona selepas mencipta nama bersama Arsenal sebelum kembali ke EPL bersama Chelsea manakala Gael Clichy menyertai Manchester City pada 2011 sebelum dilepaskan ke İstanbul Başakşehir pada penghujung musim lalu.
2. Chelsea
Musim Panas: 2002/03
Jumlah perbelanjaan: £500,000
Pemain masuk:
Enrique de Lucas (Percuma, Espanyol)
Filipe Oliveira (£500,000, Braga)
Apakah yang berlaku seterusnya?
Ini mungkin merupakan musim terpenting di dalam sejarah Chelsea. Pada usia 36 tahun, Giafranco Zola telah membantu The Blues melayakkan diri ke pusingan kelayakkan UEFA Champions League.
Musim 2002/03 juga merupakan musim terakhir dan yang paling produktif buat Zola bersama Chelsea.
Ikon di Stamford Bridge ini menjaringkan 14 gol dalam saingan EPL untuk mengakhiri musim tersebut di kedudukan ke-4, juga antara sebab utama yang menarik pelaburan dari jutawan Rusia, Roman Abrahimovic.
Jutawan minyak daripada Rusia tersebut telah melabur untuk membawa ramai bintang bola sepak bernilai lebih daripada £1billion sejak mengambil alih pemilikan kelab London itu.
Pada jendela perpindahan pertamanya, 13 pemain baharu dibawa masuk dan Enrique de Lucas adalah antara pemain terawal yang tiba di Stamford Bridge. Anda kenal pemain ini?
3. Liverpool
Musim panas: 2003/04
Jumlah perbelanjaan: £11.5 juta
Pemain masuk:
Anthony Le Tallec (£1.5 juta, Le Havre)
Florent Sinama-Pongolle (£1.5 juta, Le Havre)
Steve Finnan (£3.5 juta, Fulham)
Harry Kewell (£5 juta, Leeds)
Carl Medjani (Percuma, Saint-Etienne)
Apakah yang berlaku seterusnya?
Liverpool mungkin bukan pasukan yang beruntung seperti Chelsea dan Manchester City yang mempunyai pemilik yang kaya raya dan sanggup untuk melakukan pelaburan ke atas pemain baharu.
Adalah tidak adil juga untuk membandingan kekuatan kewangan mereka dengan Manchester United. Namun ini tidak menghalang mereka untuk berbelanja!
Kelima-lima pemain di atas dibawa masuk ketika era Gerrard Houllier dan tidak ada satu nama pun di antara mereka berjaya memberi impak sehingga dikenang sebagai legenda di Anfield.
Harry Kewell pernah menerima bidaan bernilai £25 juta daripada Inter Milan ketika berada di puncak prestasi bersama Leeds United. Disebabkan masalah kewangan yang melanda kelab Yorkshire itu, Kewell akhirnya dijual kepada Liverpool pada harga £5 juta.
Steve Finnan mungkin pemain yang paling berjaya dalam kalangan mereka, tiba dengan tanda harga £3.5 juta daripada Fulham.
Manakala Florent Sinama-Pongolle dan Anthony Le Tallec memainkan peranan dalam kejayaan Liverpool dalam saingan Champions League pada musim berikutnya, tetapi tidak memberi impak lain seperti yang diharapkan.
Carl Madjani? Anda perlu dapatkan penjelasan dari Gerrard Houllier untuk pemain ini. Kami yakin ramai penyokong Liverpool pun tidak menyedari akan kewujudan pemain ini di Anfield.
Anda mengenali Carl Madjani?
4. Manchester City
Musim panas: 2004/05
Jumlah perbelanjaan: £750,000
Pemain masuk:
Ben Thatcher (£750,000, Leicester)
Geert De Vlieger (Percuma, Willem II)
Danny Mills (Percuma, Leeds)
Ronald Waterreus (Percuma, PSV)
Apakah yang berlaku seterusnya?
Manchester City pernah beraksi sekali di luar EPL sejak 2000. Namun jumlah perbelanjaan terendah yang dibelanjakan oleh kelab ini adalah ketika mereka masih dalam proses untuk memperkuatkan cengkaman mereka di saingan EPL.
Jumlah £750,000 yang dibelanjakan City ialah untuk mendapatkan Ben Thatcher (gambar atas) daripada Leicester City.
Jumlah pelaburan yang sedikit ini juga menyaksikan mereka melalui musim terburuk walaupun kekal dalam saingan EPL (kedudukan ke-16).
Kevin Keegan dikatakan ingin membina barisan pertahanan yang mantap dengan menggandingkan Thatcher dan juga Danny Mills. Ia satu projek yang gagal oleh bekas bintang Newcasle dan England itu.
Tidak hairanlah mereka sanggup membelanjakan lebih wang sejak daripada itu.
5. Manchester United
Musim panas: 2005/06
Jumlah perbelanjaan: £7 juta
Pemain masuk:
Edwin van der Sar (£2 juta, Fulham)
Park Ji-sung (£4 juta, PSV)
Ben Foster (£1 juta, Stoke)
Apakah yang berlaku seterusnya?
Sepertimana pengurus bola sepak yang lain, Sir Alex Ferguson juga pernah membuat penilaian dan membeli pemain yang salah untuk pasukannya.
Tetapi pada musim 2005, beliau berjaya mendapatkan antara tawaran terbaik yang pernah ada dalam jendela perpindahan pemain.
Edwin Van der Sar dan Park Ji Sung tiba di Old Trafford dengan kos keseluruhan £6 juta dan memenangi 24 trofi keseluruhan untuk pengurus berbangsa Scotland itu.
Ben Foster mungkin gagal mendapat tempat di dalam pasukan utama kerana kehadiran Van der Sar, namun United mendapat keuntungan dengan penjualan Foster.
Walaupun menamatkan musim tersebut di tangga kedua di belakang Chelsea, ia adalah musim panas terbaik yang pernah Sir Alex lalui untuk aktiviti perpindahan pemain.
Nemanja Vidic dan Patrice Evra turut tiba pada Januari, namun impak kedua-dua pemain ini hanya membuahkan hasil pada musim berikutnya untuk United.
6. Tottenham Hotspur
Musim panas: 2011/12
Jumlah perbelanjaan: £6.9 juta
Pemain masuk:
Brad Friedel (Percuma, Aston Villa)
Cristian Ceballos (Percuma, Barcelona)
Souleymane Coulibaly (£1.4 juta, Siena)
Scott Parker (£5.5 juta, West Ham)
Apakah yang berlaku seterusnya?
Sebelum musim 2016/17, musim ini adalah antara musim terbaik yang dilalui oleh Tottenham Hotspur dalam saingan EPL.
Hanya Brad Friedel dan juga Scott Parker yang merupakan pemain skuad pertama daripada 4 pemain yang dibawa masuk oleh Harry Redknapp.
Musim tersebut juga merupakan musim terakhir Harry Redknapp di White Hart Lane.
Hugo Lloris, Jan Vertonghen dan Mousa Dembele tiba pada musim panas berikutnya dan hasil penjualan Gareth Bale hanya digunakan 12 bulan selepas tempoh tersebut.
Musim 2014/15, 2015/16 and 2016/17 adalah musim yang sibuk buat Mauricio Pochettino namun musim panas ini belum menyaksikan pengurus tersebut membawa masuk mana-mana pemain baharu.
Sumber:
1. Colin Bradley, KickTV (2016): THE PREMIER LEAGUE’S TOP NET SPENDERS SINCE 1992; http://www.kicktv.com/the-premier-leagues-top-net-spenders-since-1992/
2. BLAKE WELTONDAVID DUBAS-FISHER, Huddersfield Daily Examiner (2017): REVEALED: How Premier League transfer fees have skyrocketed over the last decade; http://www.examiner.co.uk/sport/football/transfer-news/revealed-how-premier-league-transfer-13334896
3. Alan Dawson, Business Insider Malaysia (2017): Here’s why the Premier League will smash its £1.17 billion spending record this summer; http://www.businessinsider.my/why-the-premier-league-will-smash-its-spending-record-this-summer-2017-6/?r=UK&IR=T