Bekas pemain tengah dan kapten Croatia, Niko Kovac dikhabarkan bakal menyertai Bayern Munich bagi menggantikan Jupp Heynckes untuk permulaan musim 2018/19.
Berita yang mula disebarkan oleh Bild itu menyatakan bahawa Kovac akan mengambil alih sebagai pengurus Bayern selepas Heynckes meninggalkan kelab Bavarian itu pada penghujung musim ini.
Penulis Bild, Christian Falk dan Tobias Altschaffl telah menyebarkan berita tersebut melalui akaun Twitter masing-masing dan akan didedahkan sepenuhnya dalam edisi Jumaat Bild.
Exclusive: Niko Kovac will be the next Coach of @FCBayern @SPORTBILD @BILD_Bayern
— Christian Falk (@cfbayern) April 12, 2018
Der Heynckes-Nachfolger heißt Niko Kovac. Alle Hintergründe morgen in @Fussball_Bild @FCBayern @SPORTBILD #fcbayern
— Tobi Altschäffl (@altobelli13) April 12, 2018
Sebelum ini terdapat beberapa pengurus berprofil tinggi yang dikaitkan dengan jawatan tersebut antaranya Jurgen Klopp, Julian Nagelsmann, Ralph Hasenhuttl dan Joachim Low.
Thomas Tuchel yang juga dikait rapat dengan jawatan tersebut telah bersetuju dengan kontrak 2 tahun untuk bersama kelab Perancis, Paris Saint-Germain, baru-baru ini.
Walaubagaimanapun, untuk mengambil alih jawatan Heynckes di Bayern bukanlah satu tugas mudah buat mana-mana pengurus termasuk yang tersenarai di atas.
Kovac ketika ini adalah pengurus untuk satu lagi kelab di Jerman, Eintracht Frankfurt dan dikhabarkan akan diperkenalkan sebagai pengurus baharu Bayern pada penghujung April.
Frankfurt kini berada di kedudukan kelima Bundesliga dan pada musim lalu, pengurus berusia 46 tahun itu telah menyelamatkan mereka daripada tersingkir pada musim pertamanya.
Untuk rekod, Kovac pernah menyarung jersi Bayern semasa kariernya iaitu untuk tempoh dua musim bermula pada musim 2001/02 dan menjuarai Bundesliga pada musim keduanya.
Kovac adalah antara pemain yang banyak menghabiskan kariernya di kelab Jerman dan antara kelab lain yang pernah disertainya adalah Hertha Berlin, Bayer Leverkusen dan Hamburg SV.
Pastinya suasana di Jerman terutamanya di Bayern adalah tidak asing bagi Kovac. Walaubagaimanapun, untuk menggantikan pengurus seperti Heynckes, pasti sedikit menyukarkan.
Kelabnya, Frankfurt akan berkunjung ke Allianz Arena pada 28 April depan dengan dijangkakan pengumuman pengganti Heynckes pula akan dibuat sekitar penghujung April.
Adakah ia satu kebetulan?
Walaubagaimanapun, sumber dalaman Frankfurt iaitu Pengarah Bola Sepak mereka, Fredi Bobic menyatakan bahawa dia langsung tidak mengetahui tentang perjanjian tersebut.
“Saya baru kembali daripada Denmark. Saya belum terima apa-apa panggilan. Niko selalu bercakap dengan saya tetapi saya tidak menerima apa-apa makluman,” ujar Bobic.