Quantcast

BERITA

Nik Akif Tidak Menolak Kemungkinan Akan Meninggalkan Pasukan Kelantan

Kemelut yang melanda skuad The Red Warriors bagaikan tiada penghujungnya setelah mereka kehilangan khidmat bekas ketua pasukan, Badhri Radzi serta ketua jurulatih, Marko Kraljevic yang membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan itu.

Terbaharu, pemain tengah kelantan dan skuad kebangsaan, Nik Akif Syahiran turut membayangkan akan berhijrah ke pasukan lain untuk menyelamatkan karier bola sepaknya gara-gara kerana isu tunggakan gaji yang melanda pasukan itu.

Malah, pemain berusia 20 tahun itu sanggup menebus kontraknya yang bernilai RM1 juta untuk menyertai pasukan lain apabila pintu perpindahan kedua dibuka pada 2 Mei hingga 29 Mei depan. Hal ini kerana beliau masih mempunyai kontrak dengan Kelantan sehingga tahun 2020 .

“Situasi sekarang terutama isu tunggakan gaji memang merisaukan pemain. Ia diakui sedikit sebanyak menjejaskan semangat kami dan prestasi pasukan walaupun kami cuba untuk tidak terlalu memikirkannya.

“Kalau boleh, saya mahu menunggu sehingga kontrak habis pada hujung 2020 tapi jika keadaan ini berterusan, saya tidak menolak kemungkinan meninggalkan pasukan itu lebih awal.

“Saya sedia menebus kontrak saya berjumlah RM1 juta untuk berhijrah ke pasukan lain jika keadaan memaksa demi karier dan masa depan saya,” katanya dalam Sinar Harian.

Nik Akif Syahiran merupakan tonggak utama skuad bawah 23 tahun kebangsaan. FOTO: FAM

Namun, beliau tidak mahu terburu-buru dan akan melihat dahulu perkembangan pasukannya sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya akui niat meninggalkan Kelantan memang terlintas di hati tapi bukanlah dalam masa terdekat. Saya tidak mahu terburu-buru dan perlu berfikir semasak-masaknya sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya akan lihat keadaan sehingga hujung musim, jika okay saya akan tunggu tapi jika sebaliknya, saya akan meninggalkan Kelantan musim depan walaupun terpaksa menebus kontrak,” katanya.

Kelantan ketika ini berada dalam kedudukan sembilan dalam Liga Premier apabila mencatat satu kemenangan, empat kali seri dan dua kekalahan selepas mengharungi tujuh perlawanan.