Quantcast

BERITA

Nik Akif Mahu Pastikan Dapat Tempat Dalam Skuad Malaysia B23

Pemain tengah dari Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat tekad merebut posisi perancang utama skuad Malaysia Bawah 23 tahun bagi mengharungi kempen Kejuaraan AFC B-23 di China, bulan depan.

Pemain skuad Piala Presiden Kelantan itu mengakui sudah tidak berdepan masalah menyesuaikan diri bersama tonggak skuad B-23 lain selepas kali pertama disenaraikan Kim Swee menyertai kem latihan pusat.

Bercakap kepada berita harian, Nik Akif  tetap menganggap kehadiran pemain senior yang lebih berpengalaman bukan penghalang untuknya memikat hati pengendali Datuk Ong Kim Swee.

“Idola saya ialah Nor Azam Abd Azih dan dia juga bermain di posisi sama. Apa pun, saya perlu buat yang terbaik untuk merebut tempat dalam skuad ini.

“Kita tahu majoriti pemain senior sudah lama berlatih bersama, berbanding saya yang kali pertama dipanggil. Tapi saya akan cuba yang terbaik untuk membalas kepercayaan jurulatih,” katanya pada wartawan selepas sesi latihan kelmarin.

Nik Akif Syahiran (No. 8). Foto: The AFC.

Kejayaan membantu skuad B-19 tahun mara ke pusingan akhir Kejuaraan AFC B-19 dilihat menjadi faktor Nik Akif dipanggil Kim Swee menyertai kem latihan kali ini.

Kim Swee bagaimanapun akan menyenaraikan hanya 26 daripada 29 pemain yang akan ke Korea Utara bagi melakukan persiapan mengharungi Kejuaraan AFC B-23, Januari ini.

Selain itu, Nik Akif turut menyifatkan ini peluang terbaik mendapatkan pendedahan lebih tinggi di peringkat antarabangsa bersama skuad B-23.

“Bersaing di peringkat B-19 dengan B-23 sudah pasti berbeza, apatah lagi terpaksa bersaing dengan pemain lebih senior. Tapi ini peluang terbaik untuk saya terus mengembangkan bakat yang ada dan membantu negara,” katanya. – BH