Nigeria mengejutkan Argentina dengan kebangkitan luar biasa dalam perlawanan persahabatan antarabangsa awal pagi tadi. Argentina turun dengan pasukan serba bintang walaupun tanpa Lionel Messi.
Nigeria turun dengan formasi 3-5-2, menggandingkan Alex Iwobi dan Kelechi Iheanacho di barisan serangan. Formasi yang sama juga digunakan oleh Argentina yang dikendalikan oleh Jorge Sampaoli.
Argentina berjaya mendahului 2 gol dalam tempoh 36 minit pertama. Ini selepas jaringan Kun Aguero dan Ever Banega.
Namun begitu, Super Eagles berjaya merapatkan jurang kedudukan menerusi Kelechi Ihenacho sebelum rehat. Iheanacho yang kini bermain untuk Leicester City melakukan sepakan percuma menarik menewaskan Marchesin.
Bersambung babak kedua, aksi Nigeria nampak berbeza. Alex Iwobi menjaringkan gol penyamaan untuk pasukan Nigeria pada minit ke-52.
Nigeria berada di hadapan 2 minit selepas itu menerusi Brian Idowu, pemain yang baru dipanggil untuk mewakili Nigeria. Satu debut impian!
Alex Iwobi memastikan Nigeria berada 2 gol di hadapan dengan gol pada minit ke-73.
Nigeria menang 4-2. Satu kebangkitan yang luar biasa oleh Super Eagles. Ini adalah kemenangan pertama Nigeria ke atas Argentina sejak 2 Jun 2011.
Prestasi tidak menentu Argentina nampaknya harus diperbaiki segera sebelum ke Piala Dunia 2018.