Pengendali baharu FELDA United, Nidzam Jamil gembira dengan prestasi pemainnya yang tidak mudah putus asa untuk bangkit menjaringkan gol penyamaan selepas ketinggalan 0-1 kepada Selangor pada aksi sulung Liga Super semalam.
Dalam perlawanan itu, jaringan penyamaan oleh kapten pasukan, Hadin Azman berjaya menewaskan seorang pertahanan Selangor, sebelum melepaskan rembatan deras dari sudut sukar ke arah near post untuk menewaskan penjaga lawan, Khairul Azhan.
Bagi Nidzam, keputusan seri di Shah Alam dilihat sebagai satu pencapaian yang baik buat FELDA sambil memuji kesungguhan yang dipamerkan anak buahnya.
“Saya rasa apabila berdepan pasukan besar seperti Selangor di laman mereka, ia seperti menentang Liverpool. Satu mata adalah satu pencapaian untuk kami yang ibarat Stoke City.
“Jadi, kami gembira dengan keputusan ini dan saya paling gembira dengan komitmen daripada pemain,” ujarnya dalam stadium astro.
Ia bukan perlawanan yang mudah buat FELDA United yang berkunjung ke Stadium Shah Alam untuk berhadapan dengan Selangor dan juga bekas ketua jurulatih mereka pada musim lalu, B. Sathianathan.
Sementara itu, ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, mengakui pasukannya beraksi di bawah keupayaan sebenar apabila gagal menyudahkan beberapa peluang terhidang.
Walaupun mendahului menerusi penggempur import, Antonio Timothy German, Selangor gagal menambah jaringan yang menyaksikan pelawat lebih mudah mematikan setiap pergerakan Selangor yang ditunjangi pemain lincah, Faiz Nasir.
“Dua mata dicicirkan. Kami tidak menggunakan sepenuhnya peluang yang ada serta gagal beraksi pada tahap sebenar. Kami memberikan lawan banyak kawalan bola di bahagian tengah,” kata Sathianathan.