Nidzam Jamil: Pemain Perlu Profesional Kekalkan Tahap Kecergasan

Nidzam

Semua pemain perlu bersikap profesional serta menerapkan disiplin tinggi dalam mengekalkan tahap kecergasan biarpun terpaksa berlatih di rumah agar mereka sentiasa bersedia sekiranya saingan Liga Malaysia dapat dimulakan selepas tempoh kawalan pergerakan berakhir pada 14 April ini.

Perkara itu disuarakan ketua jurulatih FELDA United FC, Nidzam Jamil yang mengakui satu cabaran besar untuk mengetahui apa yang sedang dilakukan anak buahnya pada waktu tempoh ini walaupun beliau ada mengarahkan mereka melakukan aktiviti tertentu sepanjang berada di rumah.

Justeru, beliau tiada pilihan lain mengharapkan semua pemain patuh terhadap apa diarahkan selain turut cuba melakukan inisiatif tambahan bagi memastikan tahap kecergasan masing-masing tidak merosot.

Namun apa yang menjadi keutamaan buat Nidzam ialah kesihatan pemain dan keluarga mereka adalah selamat sepanjang penularan wabak COVID-19.

“Kita ada bagi program kepada pemain buat sepanjang tempoh kawalan pergerakan tetapi saya tidaklah sampai minta bukti video kerana bagi saya, pemain tahu tanggungjawab mereka untuk sentiasa kekal cergas dan saya mempercayai mereka.”

“Saya tidaklah ada sebarang kaedah tertentu dalam tempoh seperti ini kerana saya percaya latihan dalam bola sepak seharusnya bermula di atas padang.”

“Memang saya akui rasa sukar buat mana-mana seorang pemain bola sepak berada di tahap kecergasan terbaik sekiranya hanya sekadar berlatih di rumah dengan turut dibantu jurulatih kecergasan.”

Kredit Foto: Felda United FC

“Jadi saya harap pemain-pemain akan cuba semaksimum mungkin kekal aktif serta disiplin dalam melakukan sebarang aktiviti fizikal kerana apabila latihan kembali bersambung, mereka masih kekal di tahap terbaik dan tidak ada sebarang masalah kesihatan, ” katanya.

FELDA kini berkedudukan tangga kelima CIMB Liga Super dan mula mendapat rentak sebelum saingan Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan bermula 16 Mac lalu selepas meraih satu kemenangan dan dua keputusan seri.

Aksi terakhir mereka di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri menyaksikan mereka berjaya mencuri satu mata apabila mengikat juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) melalui keputusan 1-1.

Selain itu, Nidzam mengharapkan Malaysian Football League (MFL) mampu memberikan masa bersesuaian kepada semua pasukan melakukan persiapan sekiranya liga dapat bersambung selepas tempoh kawalan pergerakan berakhir.

Dalam masa terkini, beliau mengakui semua pasukan seolah-olah terpaksa bermula daripada awal dalam soal persiapan selain menjangkakan pemain perlu mengharungi jadual yang lebih ketat.

“Sebelum liga kembali bersambung jika isu COVID-19 ini reda, saya mengharapkan kerjasama MFL dan mungkin boleh bertanyakan juga pandangan tiap jurulatih yang kena menyiapkan semua pemain untuk mengharungi baki perlawanan dalam tempoh enam ke tujuh bulan ini.

“Bila liga terpaksa ditunda sebegini, segalanya termasuk program latihan dan kecergasan kena memerlukan sedikit masa bagi memastikan pemain betul-betul bersedia.

“Jadi semua orang kena sepakat dalam soal ini dan mendapatkan jalan tengah supaya pasukan serta pemain benar-benar bersedia kerana banyak aspek perlu direncanakan semula agar liga kita dapat disambung dalam keadaan kembali meriah, ” katanya.

Kredit foto: Felda United FC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN