Dalam perkongsian terbaru wartawan Astro Arena, Akbar Sahari di laman Youtube, pengendali FELDA United, Nidzam Jamil, bercerita mengenai bagaimana beliau membina kariernya sebagai jurulatih.
Menyifatkan ianya spontan dan juga rezeki buatnya, Nidzam Jamil sangat berterima kasih kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA FC) kerana banyak membantu dirinya di awal pembabitannya.
Malah, menurutnya, SPA FC adalah kelab yang bertanggungjawab untuk membantunya dari segi penajaan untuk mengambil lesen kejurulatihan daripada Lesen C hingga Lesen A, yang mana, pada saat itu, beliau tidak terfikir dan tidak mampu membiayainya.
“Saya tidak pernah terfikir untuk jadi coach, tidak terfikir langsung,” tuturnya tentang bagaimana permulaan karier kejurulatihannya yang sudah menjangkau 10 tahun sejak bersara sebagai pemain.
“Masa [awal] tu, orang sudah lupa Nidzam Jamil, sudah tiada, terkeluar daripada radar. Hendak coaching, rasa rendah diri, hendak buat bisnes tapi duit tiada, hendak kerja, pelajaran pula tidak tinggi. Jadi, kita tersekat di tengah-tengah [lepas bersara].
“Kebetulan, arwah kawan saya ajak buat coaching budak-budak taman untuk main kejohanan di Kajang. Itu kali pertama saya jadi coach,” ceritanya permulaan segalanya sebelum kembali bermain separuh masa bersama SPA di Kejohanan Antara Jabatan.
Pengendali berusia 39 tahun itu turut menyatakan Kamarulzaman Hassan yang mengajaknya menyertai SPA sebagai Pekerja Khidmat Syarikat (PKS) dan pemain dengan gaji sekitar RM50 sehari. Dan menurutnya, itu telah membantu hidupnya yang kesempitan.
Tambahnya lagi, ketika SPA FC menjadi kelab dan ketika itu beliau adalah jurulatih pasukan, SPA telah membantunya mendapatkan lesen kerana Lesen C diperlukan untuk mengendalikan pasukan.
“Masa sertai SPA, saya tiada apa-apa pun. Bukan jurulatih terlatih, hanya ada pengalaman. Macam anda mengajar adik memandu kereta. Kita tiada lesen mengajar tetapi kita tahu bawa kereta.
“Untuk jurulatih muda macam saya, kita perlukan platform. Sama ada bekas pemain atau tidak, kalau tiada kelab, anda susah hendak naik taraf lesen anda. Kalau tiada SPA, entah apa la yang saya akan buat masa tu sebenarnya,” tambahnya yang menjadikan jurulatih Selangor ketika ini, B. Satiananthan sebagai sumber rujukannya.
“Betul orang cakap, pemain bola ni mati dua kali. Pertama selepas habis karier sebagai pemain, kedua mati yang sebenarnya,” ujarnya yang menegaskan kebanyakkan pemain tidak merancang apa yang mahu dilakukan setelah menggantung but, tetapi ianya penting.
Semuanya BOLA pernah melabelkannya sebagai antara jurulatih perlu diberikan perhatian dalam Piala Malaysia 2019 yang lalu. Selain usianya yang muda, pendekatan taktikalnya adakala dilihat mampu menggugat dan menewaskan pasukan-pasukan elit.
Perkongsian Nidzam Jamil ini sangat penting sebagai panduan kepada pemain-pemain yang masih bermain ketika ini tentang pengurusan karier selepas bersara. Itu yang akan menyebabkan majoritinya hilang arah dan semakin susah untuk menyara hidup.
Kredit Foto: FELDA United