Selepas merekodkan dua keputusan seri menentang Selangor dan PKNP FC, Felda United akhirnya tumpas di tangan Kedah dengan keputusan 0-4 di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Mengulas prestasi pasukannya kepada pengacara di iflix selepas perlawanan, ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil berkata yang mereka mungkin boleh bolos lebih banyak lagi.
Baginya, The Fighters telah cuba memberi cabaran namun mungkin mereka tidak bersedia sepenuhnya dengan apa yang bakal dihidangkan oleh skuad Helang Merah di Darul Aman.
“Kita datang sini (tempat lawan) dan kalau tidak fokus tadi, perlawanan boleh berakhir dengan 6,7 kosong tadi.
“Mungkin kita tidak berapa faham dengan apa yang mereka akan berikan tetapi saya lega walaupun di babak kedua kita tidak dapat bangkit balik tetapi pemain-pemain saya telah berikan yang terbaik,” ulasnya lagi mengenai perlawanan tersebut.
Ini merupakan kekalahan pertama Felda United sejak September 2018. Pada ketika itu, mereka tewas kepada Terengganu dalam saingan Piala Malaysia di peringkat suku akhir.
Selain itu, Nidzam turut menyatakan yang mereka berdepan dengan pasukan yang berkualti dan sangat offensive menyebabkan para pemainnya hilang punca seterusnya tewas mudah.
Menurut pengendali termuda di saingan unifi Liga Super 2019 itu lagi, baginya pasukan Kedah adalah antara pencabar kejuaraan liga kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim ini.
“Saya rasa kita bermain dengan pencabar kejuaraan liga. Selain JDT, Kedah adalah antara pasukan terbaik,” tambahnya lagi.
“Kita cuba juga untuk dapatkan gol tadi tetapi kualiti memang memberi beza,” ujarnya yang pertama kali mengendalikan pasukan di saingan Liga Super selepas dilantik pada November lalu.
Nidzam turut menyatakan yang mereka akan lebih bersedia untuk pertembungan semula selepas ini di laman sendiri, Stadium Tun Abd Razak, Jengka dan pasti akan mengunci ketat dua pemain import Kedah, Jonathan Bauman dan Fernando Rodriguez.
The Fighters kini berada di kedudukan ke-8 MSL dengan dua mata daripada tiga perlawanan. Kedudukan mereka bakal terjejas kerana terdapat dua lagi perlawanan yang bakal dilangsungkan.