Nidzam Jamil menjadi jurulatih tempatan terkini menarik diri untuk menyertai pasukan kejurulatihan skuad Harimau Malaya sebagai pembantu kepada Kim Pan-gon.
Ini menjadikan Nidzam sebagai jurulatih kedua berbuat demikian selepas Nafuzi Zain turut menyatakan komitmen untuk terus kekal membimbing Terengganu FC bagi menghadapi saingan musim 2022.
Seperti NZ , NJ juga terpaksa menarik diri dari menjadi calon pembantu jurulatih HM demi menghormati kontrak 2 tahun bersama selangor fc @nidzamjamil
— joe berbatov (@BerbatovJoe) February 3, 2022
Pendirian Nidzam dinyatakan oleh ejen jurulatih itu sendiri dari Estrada Sports Agency melalui satu ciapan pada hari ini.
Menurut ejen tersebut, Nidzam menarik diri dari menjadi calon pembantu jurulatih pasukan negara demi menghormati kontrak selama dua tahun yang baru diikat bersama Selangor FC sebelum ini.
Pada Januari lalu FAM telah mengumumkan pelantikan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan negara untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tan Cheng Hoe.
Tan Cheng Hoe bertindak meletak jawatan sebagai pengendali pasukan kebangsaan atas rasa tanggungjawab susulan kegagalan pasukan negara di kejohanan Piala AFF 2020 yang lalu.
FAM hilang calon berkaliber untuk penolong jurulatih Harimau Malaya apabila Nidzam Jamil terpaksa menarik diri untuk menerima jawatan berkenaan demi menghormati kontrak bersama Selangor FC. Pengesahan dibuat ejennya @BerbatovJoe dari Estrada Sports Agency hari ini.
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) February 3, 2022
Jurulatih dari Korea Selatan itu dilaporkan menerima kontrak selama dua tahun daripada FAM, dan didatangkan bersama empat pembantu jurulatih.
Empat pembantu beliau terdiri daripada seorang jurulatih penjaga gol, pembantu teknikal dan juga penganalisis perlawanan. Justeru itu timbul kerisauan ianya agak sukar bagi Kim Pan-gon melaksanakan tugas beliau kerana tidak mengenali pemain dan bola sepak jika tiada khidmat di kalangan jurulatih tempatan.
Setiausaha agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar sebelum ini pernah berkata seramai 10 jurulatih tempatan menyatakan minat bagi menjadi pembantu kepada Pan-gon.
Memang ada beberapa calon yang minat untuk jadi pembantu ketua jurulatih dan perkara itu akan dimuktamadkan bila dia (Pan Gon) sampai sebab dia perlu berjumpa dan menemu bual calon sama ada memenuhi kriteria diinginkan.
“Tetapi nama-nama berkenaan akan disenarai pendek FAM sebelum kita beri kepada dia. Kemudian terpulang kerana dia adalah ketua jurulatih yang akan membuat keputusan siapa dia nak,” ujar Saifuddin sebelum ini.