Pengendali FELDA United, Nidzam Jamil menjelaskan yang pemain import tengah, Frederic Bulot masih perlukan masa untuk membentuk kesefahaman menjelang sepak mula Liga Super 2020.
Menurutnya, tempoh masa enam minggu sebelum liga bermula pada 28 Februari depan akan dimanfaatkannya bagi mencapai sasaran untuk membentuk lebih persefahaman di kalangan pemain.
Untuk pemain import lain, pengendali berusia 39 tahun itu tampak yakin mereka tiada masalah bersama pasukan setakat ini dan ada di antara mereka sudah berpengalaman di Liga Malaysia.
“[Nikola] Raspopovic telah turun beraksi bersama kita dan mempamerkan kualiti untuk mengetuai benteng, pergerakan [Ryutaro] Megumi di sayap pula sangat mengagumkan, tetapi saya lihat [Frederic] Bulot masih perlukan masa untuk memahami rakan sepasukan.
“Namun, dia [Frederic Bulot] telah menunjukkan yang dia dapat membantu pasukan secara teknikal dan taktikal,” jelas Nidzam Jamil mengenai pemain itu yang dipetik daripada The Star.
“[Nicolas] Velez telah menjaringkan dua gol dalam jelajah ini dan mempamerkan dia boleh beraksi sebagai pemain nombor 10 serta di bahagian sayap. Kelebihannya dia sudah pernah bermain di Liga Malaysia.
“Secara keseluruhannya, semua pemain telah berikan yang terbaik dan kita akan dapat lihat apa yang mampu diberikan pemain selepas beberapa minggu dan sesi latihan selepas ini,” tambahnya lagi.
Namun, menurut Nidzam Jamil lagi, terdapat beberapa aspek lagi yang perlu diperbaiki dan dilihatnya semula untuk membolehkan pemain beradaptasi baik dengan sistem taktikalnya.
FELDA United beraksi di kejohanan pra-musim di Indonesia yang melibatkan Pulau Pinang, PSMS Medan dan Boeung Ket FC. FELDA United dinobatkan juara selepas menewaskan Boeung Ket FC di pentas final.
Dalam kejohanan tersebut, The Fighters terpaksa melalui dua perlawanan dengan kekurangan pemain selepas layangan kad merah dan inilah aspek yang akan dilihatnya semula selepas ini.
“Dalam perlawanan pertama [PSMS Medan], Faiz Mazlan dilayangkan kad merah dan kita terpaksa main dengan 10 orang hampir sejam. Dan untuk aksi kedua, setengah jam kita bermain dengan 10 orang.
“Saya lihat aspek ini yang perlu diperbaiki lagi. Kita bermain dengan sistem counter-press, jadi secara taktikalnya kita perlu kurang membuat hadangan yang naif,” jelasnya lagi mengenainya.
FELDA United dijadualkan akan membuka tirai saingan Liga Super 2020 bertemu PJ City FC pada 1 Mac depan sebelum berkunjung ke Sabah pula pada 7 Mac untuk aksi kedua liga.
Kredit Foto: FELDA United FC