Pengendali sementara Selangor, Nidzam Jamil mengakui yang mengendalikan pasukan Selangor adalah satu cabaran yang besar buatnya.
Tambahan pula dengan mengambil alih pasukan ketika pertengahan musim menambahkan lagi cabaran yang bakal dihadapi oleh jurulatih muda itu.
Untuk rekod, Nidzam mengambil alih kedudukan sebagai jurulatih sementara Selangor kerana pengunduran Michael Feichtenbeiner yang dilihat tidak lagi kompeten untuk jawatan itu.
“Sebaik sahaja saya dimaklumkan Kelab memilih saya untuk menyambung tugas Ketua Jurulatih pasukan, pada masa itu secara jujurnya, saya rasa ianya suatu cabaran yang besar. Walaubagaimanapun, saya berlapang dada menerima tanggungjawab ini.
“Ini merupakan satu keadaan yang baru untuk saya kerana ini kali pertama saya mengambil alih pasukan di pertengahan musim. Tanggungjawab ini sangat penting untuk Kelab dan penyokong, bukan untuk saya,” ujar Nidzam.
Cabaran pertama Nidzam sebagai jurulatih sementara Selangor adalah dengan berdepan Terengganu yang turut diuruskan oleh pengendali muda iaitu Nafuzi Zain.
Pada Nidzam, amatlah penting semangat bersatu dalam skuad Selangor kerana jika tiada perpecahan maka kejayaan dapat diraih.
“Bagi saya, selagi penyokong memberi reaksi kepada pasukan, ini merupakan satu situasi yang baik kerana tanpa mereka siapalah kita.
“Saya sangat berharap agar sekarang ini pihak pengurusan, pemain, pegawai dan para penyokong bersatu berada di dalam satu kapal besar untuk bersama-sama membantu pasukan untuk berada di tahap yang baik daripada sekarang,” tambah Nidzam lagi.
Nidzam akan mengendalikan Selangor sehingga hujung musim 2022 dengan kelab kini sedang mencari pengganti baharu yang tetap.
Feichtenbeiner pula tidaklah 100% keluar daripada Selangor, sebaliknya beliau masih lagi di kelab dengan kembali ke jawatan asal iaitu pengarah teknikal.