Nidzam Jamil Adalah Mangsa Keadaan

Adat bila ketua jurulatih meletak jawatan; ada penyokong yang optimistik dan ada yang pesimistik. Ada yang meraikan berita tersebut sebagai permulaan baharu, dan ada yang melihatnya sebagai satu simptom—bahawa pasukan mereka sedang bermasalah.

Awal minggu ini, berita Nidzam Jamil meletakkan jawatannya sebagai ketua jurulatih menyebabkan penyokong Selangor FC berpolarisasi. Golongan yang gembira berpendapat Nidzam bukan ketua jurulatih yang sesuai untuk membawa Selangor ke depan. Golongan yang tak gembira berpendapat, Nidzam dipaksa meletak jawatan. Artikel ini akan mengupas mengapa golongan kedua ini betul.

Penyokong tidak sependapat

Jika anda menyokong Selangor, tidak sukar untuk mencari sebab mengapa anda tidak yakin dengan Nidzam seratus-peratus.

Sebab pertama; kekalahan 0-1 kepada KL City yang menghadapi masalah tunggakan gaji dalam aksi Liga Super 2024/25 pada 14 Julai. Sebab kedua; keputusan hambar seri 1-1 menentang Sri Pahang yang bermain dengan 10 orang pada 31 Julai. Sebab ketiga; satu lagi keputusan seri menentang PDRM pada 19 Oktober. Sebab keempat; kegagalan menyaingi JDT dalam dua cubaan musim ini selepas dibelasah 1-6 dalam final Piala FA dan 0-3 dalam aksi liga di halaman sendiri.

Apabila Nidzam mengumumkan perletakan jawatannya pada 30 Oktober, tiga hari selepas kekalahan aksi Liga Super kepada JDT di Stadium MBPJ, ada sebahagian penyokong Selangor melihat berita ini sebagai satu ‘red flag’. Ada dua sebabnya:

  1. Nidzam meletak jawatan ketika Selangor sedang membuat persiapan menentang Kedah dalam aksi Liga Super (2 November) dan Jeonbuk Hyundai dalam aksi AFC Champions League Two (7 November). Anda takkan meninggalkan pasukan pada masa sibuk ini melainkan anda ada sebab yang sangat kukuh.
  2. Nidzam pernah menyuarakan hasrat untuk meletak jawatan pada bulan Ogos lepas. Hal ini disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC (SFC), Datuk Seri Shahril Mokhtar. Ini bermakna Nidzam telah bertahan selama dua bulan sebelum akhirnya memuktamadkan keputusannya meletak jawatan.

Persoalannya sekarang—apakah sebab Nidzam meletak jawatan? Atas dasar profesionalisme, jawapan soalan ini mungkin tidak akan keluar dari mulut bekas bek kanan Selangor era 90-an ini. Tetapi kita boleh melihat sejarah gaya pengurusan Selangor—yang telah melantik lima ketua jurulatih dalam masa enam tahun—untuk mendapat klunya.

Sejarah campur tangan

Betul cakap Datuk Seri Shahril Mokhtar, “…kita tahu dia menjalankan tugas dengan baik, tempat kedua dalam Liga Super dan ACL2 (Liga Juara-Juara Asia 2) pun kami ke arah positif.” Satu perkara yang pasti, Nidzam meletak jawatan bukan kerana persembahan atas padang Selangor.

Pada September 2020, sembilan hari selepas dipecat daripada menjadi ketua jurulatih Selangor, mendiang B. Satiananthan mendedahkan sisi buruk pengurusan Selangor sehingga menjejaskan tugasnya:

“Saya juga pernah meminta pihak pengurusan untuk mendapatkan seorang pertahanan kiri kerana (K. Prabakaran) yang selalu main di posisi itu kerap dikutuk oleh penyokong Selangor apabila diturunkan. Ramai yang bersikap perkauman dan dia menjadi takut untuk bermain.

“Tetapi ia tidak dipersetujui, bukan oleh orang teknikal tetapi orang di pejabat yang memakai tali leher, yang tiba-tiba lebih tahu pasal bola sepak daripada saya.

“Saya menerimanya dan pada saat-saat akhir, mereka memberikan kebenaran itu tetapi pemain yang saya inginkan itu sudah ke PJ City.”

Satiananthan turut menambah ada pegawai pengurusan Selangor yang mendedahkan berita dia tak disambung kontrak kepada pemain—meskipun keputusan itu hanya diketahui oleh Satia dan beberapa individu dalam pihak pengurusan sahaja.

“Tuanku maklumkan hanya ada beberapa orang (pihak pengurusan) yang tahu. Tapi selepas dua hari, saya mendapat maklumat bahawa pemain sudah tahu saya tidak lagi bersama mereka,” dedahnya. “Mana akan perginya motivasi pemain (jika tahu) saya sudah tidak ada (bersama mereka) dan mereka tidak perlu lagi memikat hati sesiapa.Mereka tidak tahu jurulatih mana yang akan datang, jadi mereka sudah tiada motivasi.”

Apabila ketua jurulatih tiada kuasa

Sebahagian penyokong Selangor yang peka sudah mula nampak kecenderungan pihak pengurusan campur tangan dalam kerja ketua jurulatih. Pada musim 2019, Syazwan Zainon ditandatangi sebelum Satiananthan ditandatangani. Abdi Hassan dan Shahrom Kalam yang di bawa masuk pada pertengahan Oktober lepas untuk membantu Nidzam, tidak dipilih oleh Nidzam sendiri. Ini berbeza dengan amalan biasa kelab bola sepak lain, di mana ketua jurulatih mempunyai autonomi untuk memilih pemain dan staf kejurulatihannya sendiri.
Untuk memahami cabaran Nidzam di Selangor, bayangkan: seorang ketua jurulatih tidak terlibat dalam semua urusan pembelian pemain dan tidak terlibat dalam urusan pemilihan staf kejurulatihannya sendiri. Tanpa kuasa dan konsensus untuk memilih pemain dan stafnya sendiri, autoriti Nidzam sebagai ketua jurulatih terancam.

Pemain boleh jadi enggan mendengar arahan kerana mereka tahu mereka dipilih oleh pihak pengurusan, bukan ketua jurulatih. Pihak pengurusan pula boleh campur tangan dalam urusan pemilihan pemain kesebelasan utama kerana mereka yang membeli pemain tersebut, bukan ketua jurulatih. Lain yang dirancang oleh ketua jurulatih semasa latihan, akan lain pelaksanaannya di atas padang. Kenapa? Sebab pihak pengurusan mahu pemain yang mereka beli, bermain.

Tiada kelab bola sepak di dunia yang berjaya apabila pihak pengurusan bermain Football Manager dalam urusan atas padang kelab mereka sendiri. Tiada kelab bola sepak di dunia yang berjaya apabila autoriti ketua jurulatih dicabar oleh pihak pengurusan kelab sendiri. Lima ketua jurulatih—dan akan datang enam ketua jurulatih—dalam masa enam tahun bukan satu kebetulan; ia satu simptom masalah struktur. Kepercayaan pihak pengurusan kepada ketua jurulatih adalah kunci kejayaan sesebuah pasukan, dan Selangor mempunyai isu ini.

Dalam erti kata lain, Nidzam Jamil sebenarnya adalah mangsa keadaan.

Perletakan jawatan ketua jurulatih berusia 44 tahun ini merupakan satu indikmen terhadap gaya pengurusan Selangor. Tanpa perubahan struktur, Red Giants akan kekal dalam kitaran lantik dan pecat, tanpa mengecapi apa-apa trofi yang signifikan. Nidzam mungkin sudah tidak ada di Selangor, tetapi jika disfungsi dalaman ini tidak diperbetulkan, ketua jurulatih selepas ini (khabarnya Petar Šegrt) akan menerima nasib sama.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN