Adakah nasib Nidzam Adzha akan berakhir bersama Kedah selepas ini?
Hal ini kerana, status beliau sebagai pengendali Kedah akan ditentukan pada Jumaat ini.
Menurut laporan Berita Harian, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan mengesahkan status sama ada Nidzam diperlukan lagi di Stadium Darul Aman untuk baki saingan unifi Piala Malaysia atau tidak.
Sebelum ini, terdapat kejutan yang menyaksikan Nidzam tidak berada di padang latihan sewaktu sesi latihan melibatkan pasukan Kedah tempoh hari.
Satu mesyuarat akan dilakukan oleh pihak KFA pada Jumaat ini bagi menentukan nasib Nidzam selepas ini sama ada terus bersama Kedah atau tidak.
Selain itu, tujuan mesyuarat itu juga akan membincangkan nasib Paulo Rangel yang telah melakukan kesalahan besar terhadap pasukan.
Beliau sebelum ini telah melakukan tindakan tidak profesional apabila tidak turun memanaskan badan pada perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin.
Selain itu, beliau tidak menunjukkan rasa hormat kepada para pegawai Kedah.
“Kami akan membuat keputusan mengenai masa depan Nidzam sebagai jurulatih pasukan.”
“Buat masa sekarang, fokus yang terbaik mengenai pasukan sekarang adalah mengenai pasukan Kedah dalam Piala Malaysia.”
“Tiada sebarang jawapan yang boleh diberikan buat masa sekarang, kita boleh tunggu jawapan dari mesyuarat ini pada Jumaat ini.”
Nidzam jelas tidak berjaya memberikan kegembiraan buat peminat Kedah sejak beliau menggantikan Ramon Marcote.
Kedah hanya berjaya mengutip 1 mata dari 2 perlawanan Piala Malaysia setakat ini.