Nicolas Pepe: Dari Budak Miskin Di Jalanan Kepada Pemain Termahal Arsenal

Nama Nicolas Pepe secara tiba-tiba menjadi sebutan peminat bola sepak di seluruh dunia apabila diumumkan sebagai pemain baru Arsenal.

Pemain itu ditandatangani dari kelab Perancis, Lille dengan nilai perpindahan £73 juta untuk menjadi pemain termahal dalam sejarah kelab London itu.

Bukan mudah

Prestasi Pepe semasa bermain bersama pasukan Lille ternyata menghadirkan minat beberapa kelab besar untuk mendapatkan beliau. Beraksi 74 perlawanan dalam semua pertandingan dan menjaringkan 35 gol merupakan satu pencapaian hebat buat seorang pemain sayap.

Kehadiran beliau ke Emirates Stadium akan menyaksikan kemunculan gandingan trio baru dalam Liga Perdana Inggeris bersama Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang.

Walaubagaimanapun, kejayaan Pepe menyertai sebuah kelab besar seperti Arsenal pada hari ini tidak hadir sekelip mata. Hakikatnya, pemain berusia 24 tahun ini mempunyai kenangan pahit termasuk membesar dalam suasana yang menyedihkan.

Kisah Pepe

Keluarga beliau berhijrah dari Ivory Coast ke Perancis pada tahun 1995, hanya beberapa bulan sebelum beliau lahir di sebuah pekan kecil, Mantes-le-Jolie yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Kota Paris.

“Keluarga saya menceritakan bagaimana ketika saya masih kecil mereka berhadapan dengan kesusahan dan penderitaan. Apabila saya berada di sekolah mereka mahu saya memiliki segalanya tetapi pada masa yang sama mereka tidak punya apa-apa untuk diberikan kepada saya,” kongsi Pepe.

“Untuk menghantar saya ke sekolah, mereka perlu berjalan kaki sejauh 10 kilometer dan akhirnya pada satu hari, kami bernasib baik apabila keluarga saya sudah mampu untuk membayar tambang bas untuk saya ke sekolah.

“Apabila saya sudah semakin besar dan mula bermain bola sepak bersama sebuah kelab kecil, kedua ibu bapa saya berhenti kerja dan membuat keputusan untuk tinggal bersama saya bagi memastikan impian saya menjadi pemain bola sepak profesional menjadi kenyataan.

“Keluarga saya ada bersama saya semasa saat-saat sukar. Merekalah yang banyak mambantu dan memberi sokongan dan saya berharap mereka akan terus berada di sisi saya buat selamanya.”

Pepe jadi penjaga gol

Permulaan karier beliau sebagai pemain bola sepak adalah bersama kelab Solitaire Paris Est sehingga berumur 14 tahun. Pada awalnya beliau beraksi di posisi penjaga gol.

“Semasa saya menjadi penjaga gol, saya merasakan pasukan saya sepatutnya menang dengan tujuh atau lapan gol. Semakin lama saya semakin bosan berada di gawang gol.

“Kemudian saya meminta kepada jurulatih untuk menukar posisi saya supaya saya dapat beraksi di posisi yang membolehkan saya melakukan jaringan. Jadi selepas saya diberi peluang, saya berjaya menjaringkan gol!”

“Pengalaman pernah beraksi di atas padang sebagai penjaga gol banyak membantu saya. Saya tahu pergerakan seorang penjaga gol apabila berhadapan dengan pemain dan bola. Ini bermaksud, saya boleh membuat analisis mengenai cara menjaringkan gol berdasarkan kedudukan penjaga gol dan itulah yang membezakan antara saya dengan penyerang lain.” tambah beliau lagi.

Selepas menyinar bersama kelab liga divisyen ke-5 Perancis, Poitiers, Pepe menyertai pasukan Angers II pada 2013 dan berkelana di sana selama lima musim. Di kelab berkenaan beliau beraksi dalam liga CFA 2 (divisyen ke-4 Perancis) bersama skuad simpanan Angers.

Permulaan karier profesional

Beliau membuat debut profesional pertama bersama skuad utama Les Scoites dalam perlawanan pusingan kedua Coupe de la Ligue yang menyaksikan kekalahan 2-1 kepada Arles-Avignon pada Ogos 2014.

Pepe kemudiannya dipinjamkan ke kelab Orleans untuk musim 2015/16 dan beraksi dalam Liga CFA (divisyen ke-3 Perancis) seterusnya membantu pasukan berkenaan dipromosi ke Ligue 2 selaku naib juara liga.

Selepas itu beliau kembali bersama Angers pada musim berikutnya untuk bermain dalam saingan Ligue 1 di mana beliau berjaya membantu pasukannya melangkah ke perlawanan akhir Coupe de France.

Dalam perlawanan tersebut, Pepe memulakan perlawanan selaku pemain kesebelasan utama namun tewas dengan jaringan 2-1 kepada Paris Saint-Germain.

Anak didik Bielsa

Musim 2017/18, pasukan Lille yang dibimbing oleh Marcelo Bielsa membawa masuk pemain antarabangsa Ivory Coast ini dengan nilai perpindahan €10 juta berserta kontrak selama lima tahun. Musim pertama di Stade Pierre-Mauroy menyaksikan beliau menjadi pemain utama hampir setiap perlawanan dan menjaringkan 13 gol.

Skrip indah bersama skuad Les Dogues berterusan pada musim berikutnya selepas beliau menyumbat 22 gol dan membuat 11 bantuan jaringan sekaligus namanya disenarai dalam ‘UNFP Team of The Year’. Kecemerlangan beliau nyata menarik perhatian kelab-kelab besar di Eropah seperti Barcelona, Manchester United dan Napoli.

Prestasi cemerlang pemain yang bakal menyarung jersi nombor 19 Arsenal ini dikekalkan sepanjang beraksi untuk skuad kebangsaan Ivory Coast. Pepe yang membantu pasukan negaranya melangkah ke pusingan suku akhir kejohanan Piala Negera-Negara Afrika baru-baru ini telah pun menjaringkan 4 gol dalam 15 penampilan bersama The Elephants.

Penutup

Latar belakang beberapa pemain bola sepak handalan yang lahir daripada keluarga yang susah dan membesar dalam suasana yang menyedihkan bukan satu cerita baru dalam dunia bola sepak. Nama-nama besar seperti Cristiano Ronaldo, Ngolo Kante, Kylian Mbappe, Gabriel Jesus, Antonio Valencia, Zlatan Ibrahimovic dan ramai lagi membuktikan satu perkara.

Keperitan yang mereka pernah alami pada satu masa dahulu menjadikan diri mereka mempunyai tekad yang kuat untuk membantu diri dan keluarga mereka keluar daripada belenggu kemiskinan. Kejayaan untuk berada di tahap ini bukanlah datang dengan usaha yang dilakukan hanya pada satu malam.

Lihat cermin dan tanyalah pada diri kita, apakah yang menghalang kita untuk menggapai impian sekalipun kita tidaklah melalui kesusahan seperti mana pemain-pemain di atas. Bak kata bekas Presiden Indonesia, Soekarno, “Gantunglah cita-citamu setinggi langit. Jikalau engkau jatuh, engkau akan jatuh di antara bintang-bintang”.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN