Penjaga gol Burnley, Nick Pope menjelaskan beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan kehadiran semula penjaga gol utama kelab itu, Tom Heaton yang kembali menjalani latihan bersama pasukan selepas pulih dari kecederaan bahu dialaminya.
Pope yang menjadi pilihan pengurus, Sean Dyche untuk menggantikan Heaton ternyata tidak mengecewakan apabila penjaga berusia 25 tahun itu cemerlang untuk mencatatkan 8 ‘clean sheets’ dalam 17 penampilannya bersama pasukan.
Bagaimanapun, Tom Heaton akan kembali pada tahun baru nanti dan semestinya keadaan ini memeningkan kepala Dyche untuk membuat pilihan penjaga gol yang akan diturunkannya selepas ini.
Bagi Nick Pope perkara ini adalah lumrah dalam bola sepak dan beliau tidak melihat ianya sebagai satu masalah mengenai perebutan yang bakal berlaku dalam menjadi penjaga gol nombor 1 Burnley.
”Ia merupakan satu persaingan, seperti yang anda akan dapat lihat di setiap kelab tetapi kami mempunyai kumpulan penjaga gol yang hebat. Ianya tidak menjadi masalah, saya boleh memberikan jaminan terhadap perkara ini,” katanya menjelang perlawanan menentang Huddersfield Town.
”Kami telah bekerja bersama selama setahun dan mempunyai hubungan yang hebat di dalam dan luar padang. Dia merupakan kawan saya. Kami akan saling mendorong antara satu sama lain untuk menjadi lebih baik. Itu adalah pasti.”
Heaton menyokong para pemain Burnley ketika ketiadaannya dalam pasukan dan Nick Pope bersedia untuk mengambil alih tugas tersebut sekiranya beliau kembali ke bangku simpanan.
”Dia berada di padang latihan hampir setiap hari. Sejujurnya dia telah banyak membantu saya,” kata bekas penjaga gol Charlton Athletic itu.
”Dia merupakan seorang pemain profesional yang hebat dan pemain terbaik. Seorang kapten dan pemimpin kelab yang sebenar, dan masih memegang peranan itu walaupun tidak berada dalam pasukan serta mengalami kecederaan.”