Kehadiran Maurizio Sarri ke Chelsea jelas mengubah peranan yang biasanya dimainkan oleh N’Golo Kante bersama The Blues.
Sarri kemudiannya mengambil keputusan untuk membawa masuk pemainnya ketika bersama-sama SS Napoli, Jorginho dan meletakkan pemain antarabangsa Itali itu di posisi tengah bertahan.
Ia memaksa Kante memainkan peranan lebih ke atas untuk membantu jentera serangan pasukan. Perubahan tersebut bagaimanapun menimbulkan persoalan banyak pihak.
Namun, bagi Kante, beliau tidak berdepan masalah dengan peranan tersebut dan mengakui beliau gembira dengan apa yang dilakukannya ketika ini.
”Ia sesuatu yang mungkin (untuk beraksi di posisi asalnya), tetapi pengurus yang akan membuat keputusan.”
”Ia baik-baik sahaja, saya tidak mempunyai masalah. Saya menggemari posisi yang lebih keatas ini.”
”Ia bergantung kepada permainan tetapi saya menikmatinya. Saya bersama pengurus dan yang menikmati permainan saya ketika ini.”
”Ia merupakan posisi yang saya gunakan ketika saya bermain untuk Perancis. Saya menikmati penglibatan yang lebih kepada posisi serangan untuk menukar permainan. Saya menikmatinya.”
Dalam pada itu, Kante turut memuji Jorginho walaupun terdapat kritikan yang diberikan terhadap rakan sepasukannya itu.
”Jorginho datang pada musim ini. Dia melakukan dengan cukup baik. Dia sangat mengetahui falsafah yang diterapkan pengurus. Dia sangat penting buat kami di kelab ini.”