N’Golo Kante dilaporkan bersedia untuk menandatangani kontrak baharu bersama Chelsea, dan bakal menerima £300,000 seminggu.
Pemain antarabangsa Perancis itu memberitahu dirinya berpuas hati dengan tawaran tersebut – yang membenarkan beliau untuk kekal di Stamford Bridge untuk lima tahun berikutnya.
Kontrak baharu
The Telegraph melaporkan kontrak tersebut kini sedang diurus oleh pegawai perundangan kelan, sebelum Kante menandatanganinya, disusuli oleh pengumuan rasmi oleh Chelsea. Kelab London itu turut dilaporkan mereka yakin telah berjaya bersetuju dengan segala terma yang dikehendaki oleh Kante.
Kontrak lama Kante ketika menyertai Chelsea dari Leicester City pada 2016 dilaporkan sekitar £150,000 seminggu. Ini bermakna Kante bakal menerima peningkatan bayaran 100% dari kelab London itu.
Paris Saint-Germain (PSG) sebelum ini dilaporkan cuba memancing pemain tengah berusia 27 tahun itu ke Ligue 1 pada musim panas akan datang – setelah Kante cemerlang membantu Perancis muncul juara dunia di Piala Dunia 2018 yang berlangsung di Rusia.
Contoh dan model pemain profesional
Namun laporan ini bermakna Kante hanya mahu memberikan fokus beliau kepada Chelsea yang kini dibimbing oleh Maurizio Sarri. Untuk rekod, Chelsea belum lagi tewas sepanjang 12 perlawanan liga yang mereka lalui setakat ini.
Sejak tiba di Stamford Bridge dengan nilai £30 juta pada dua tahun yang lalu, Kante boleh dianggap sebagai antara pembelian paling berbaloi dilakukan oleh kelab London itu.
Dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris berturut-turut; masing-masing bersama Leicester City dan Chelsea – Kante juga membuktikan dirinya adalah model dan contoh seorang pemain bola sepak yang menampilkan sikap profesional melalui aksi dan sikap yang dimiliki beliau.
Jika kontrak Kante bersama Chelsea dimeterai, ini bermakna pemain ini akan berusuia 32 tahun pada penghujung kontrak baharu ini.