Mampukah Neymar akan dikenang sebagai salah seorang dari ramai legenda bola sepak Brazil?
Pemain yang pernah menjadi wonderkid Brazil pada usia remajanya cukup memberikan keterujaan kepada semua peminat bola sepak.
Namun di usia yang sepatutnya menjadi peringkat kemuncak karier beliau, adakah Neymar sudah mencapai potensi sebenar beliau?
Bagi Luis Felipe Scolari, belum lagi.
Menurut bekas pengendali Brazil itu, Neymar tidak akan mampu berjaya menjadi pemain yang sehebat legenda Brazil lain kerana satu kesilapan.
Kesilapan tersebut adalah Neymar memilih untuk meninggalkan Barcelona untuk Paris Saint-Germain.
“Beliau memilih untuk melambatkan pembangunan beliau sebagai pemain dengan meninggalkan Barcelona.”
“Jika beliau tidak tinggalkan Barcelona, sudah pastinya beliau akan jadi pemain yang sebagus Lionel Messi dan juga Cristiano Ronaldo.”
“Di Barcelona, Neymar telah banyak meningkat sebagai pemain dan beliau hampir menjadi pemain yang setaraf dengan mereka.”
Tambah Scolari lagi, Neymar tidak akan mampu menjadi pemain yang sehebat dengan legenda Pele.
“Di Brazil, semua orang tahu siapa Neymar dan siapa Pele.”
“Kami juga tahu yang Pele cuma ada satu dan tak akan ada yang lain.”
“Satu-satu pemain itu boleh jadi pemain yang sangat bagus malah boleh juga jadi pemain yang hebat. Tapi tiada siapa yang boleh menggantikan Pele kerana beliau tiada pewaris untuk itu.”
“Tiada pemain yang akan sama seperti beliau.”