Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar mendedahkan bahawa anak lelakinya yang berusia 7 tahun, Davi Lucca da Silva Santos begitu menyanjungi rakan sepasukan beliau di Paris, Kylian Mbappe.
Pemenang Piala Dunia 2018 di Russia itu terus mempamerkan aksi menarik selepas berjaya mencipta empat jaringan pada pertembungan menentang Lyon yang menyaksikan PSG membelasah musuh tradisi mereka itu dengan keputusan 5-0.
Menurut sumber Goal, Neymar memberitahu wartawan bahawa merupakan anaknya merupakan peminat setia kepada pemain jentera serangan yang berusia 19 tahun itu.
”Anak saya begitu menyayangi (Kylian) Mbappe. Saya membawanya ke sesi latihan dan dia sentiasa bercakap mengenai Kylian pada setiap masa.”
”Dia mahu mengambil gambar (bersama Mbappe) untuk ditunjukkan kepada rakan di sekolahnya, dia mengambil gambar dan kelihatan begitu gembira.”
Dalam pada itu, empat gol dalam masa 13 minit menjadikan Mbappe sebagai pemain pertama yang berjaya mencetak empat jaringan dengan begitu pantas dalam satu-satu perlawanan selepas 45 musim Ligue 1.
Beliau juga menjadi pemain termuda (19 tahun 9 bulan) yang berjaya menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan.
Dengan usia yang begitu muda serta dikelilingi pemain nama besar dunia dan kualiti yang dimiliki beliau, sudah pasti banyak lagi rekod yang akan dipecahkan Mbappe selepas ini.