Nama bintang Brazil, Neymar begitu hangat menjelang jendela perpindahan musim hadapan apabila beliau menjadi tumpuan kelab gergasi seperti Real Madrid dan Manchester United.
Neymar baru sahaja dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Liga Perancis 2018 walaupun beliau tidak dapat beraksi hingga perlawanan terakhir akibat patah tulang metatarsal yang dialaminya pada bulan Februari lalu.
Pemain termahal dunia itu berjaya menghasilkan 19 jaringan dalam saingan Ligue 1 selepas beraksi dalam 20 perlawanan.
Bintang berusia 26 tahun yang kini dalam proses pemulihan itu ternyata tidak mahu untuk membincangkan mengenai masa depannya di Paris Saint-Germain.
”Kita akan bercakap mengenai perkara ini setiap kali jendela perpindahan dibuka. Saya tidak mahu mengulas mengenai perkara ini pada waktu sekarang,” ujar Neymar.
”Semua orang tahu mengapa saya datang ke sini, apa objektif saya. Ketika ini, objektif saya adalah untuk beraksi di Piala Dunia, bukan untuk bercakap mengenai perpindahan.”
”Saya menghabiskan seluruh hidup saya, setiap kali jendela perpindahan akan bercakap mengenai perkara ini. Ia sedikit menjengkelkan.”
Dalam pada itu, Neymar turut memberikan penghargaan terhadap rakan sepasukannya diatas kejayaan yang diraih.
”Saya berasa sangat terkesan dan gembira dengan musim ini. Ia merupakan satu penghargaan. Tanpa bantuan rakan sepasukan, saya tidak akan menerima anugerah ini (Pemain Terbaik Tahunan Liga Perancis 2018).”
Neymar mengenepikan cabaran dua rakan sepasukan iaitu Kylian Mbappe dan Edinson Cavani serta pemain sayap Marseille, Florian Thauvin untuk meraih kejayaan peribadi tersebut.
Undian bagi memilih pemenang telah dilakukan oleh para pemain yang beraksi dalam saingan Ligue 1.