Pundit dan juga bekas kapten Manchester United – Gary Neville – berpendapat pasukan tersebut berjuta-juta batu jauhnya daripada 4 teratas. Ini selepas Neville membandingkan aksi Man. United menentang Southampton dengan kualiti Arsenal dan Spurs pada hujung minggu lalu.
Neville juga percaya jika pasukan Man. United tidak meningkatkan lagi kualiti permainan mereka, Man. United juga bakal bergelut untuk mara ke Europa League sekalipun.
Jose Mourinho pada musim ini beberapa kali mengkritik aksi anak-anak buah beliau. Beberapa hari lalu Mourinho menganggap Man. United hilang ‘simplicity’ dalam permainan mereka dan juga pemain di tengah yang terlalu lambat menghantar bola.
Selepas aksi cemerlang mengatasi Juventus di UCL, Man. United keciciran mata di tempat sendiri di tangan Wolves dan Crystal Palace. United turut tewas 3-1 di derbi Manchester. Mereka kini berada di tangga ke-7 selepas mencatatkan seri 2-2 di St. Mary.
Manchester United kini 16 mata di belakang pendahulu liga – Manchester City. Fokus mereka kini adalah cuba untuk menempatkan diri dengan 4 teratas.
Neville berkata: “Jika kamu adalah Manchester United, di mana kamu berada? Selepas menyaksikan aksi mereka pada Sabtu menentang Southampton, nampaknya pasukan ini berjuta batu jauhnya daripada mereka [Arsenal dan Tottenham].”
Manchester United berpeluang untuk merapatkan jurang mata dengan 4 teratas pada Rabu ini menentang Arsenal di Old Trafford.
Just commented on @thejournal_ie: Man United 'a million miles from top four', warns Gary Neville – https://t.co/M1680qN0ao
— aidan mccormack (@amcc2311) December 4, 2018
Man. United pastinya sedar akan prestasi semasa pasukan Arsenal. The Gunners kini sudah 19 perlawanan tanpa kalah di semua pertandingan. Mereka dalam mood terbaik selepas menang 4-2 dalam derbi London Utara – menentang Spurs pada hujung minggu lalu.
Neville berkata, tiada jalan lain untuk United ketika ini, mereka hanya ada pilihan untuk meningkatkan kualiti permainan mereka dalam skuad yang sedia ada. Neville juga memberitahu jika Man. United menang menentang lawan yang sedang dalam prestasi terbaik, ianya akan menjadi tonik berharga untuk mereka bangkit.
“Manchester United harus membuktikan sesuatu dalam perlawanan ini lebih daripada perlawanan lain setakat ini. Mereka perlu buktikan mereka boleh bersaing dengan pasukan Arsenal ini.”
“Old Trafford sentiasa tempat yang sukar untuk dilawati, jadi, saya tak hairan pun kalau Man. United menang pada malam Rabu ini. Namun mereka haru sedar akan isyarat yang telah mereka terima – Arsenal baru menang derbi.”
Kali terakhir Arsenal menang di Old Trafford dalam saingan EPL adalah pada 2006. Jadi, Mourinho ada rekod untuk dipertahankan.