Penjaga gol Manchester United, David De Gea terus menjadi mangsa kritikan legenda kelab tersebut berikutan aksinya ketika bertemu Tottenham Hotspur, kelmarin.
Hal ini kerana Gary Neville pula mengikuti jejak langkah Roy Keane yang meluahkan rasa tidak puas hati susulan kesilapan penjaga gol kelahiran Madrid itu sehingga menyaksikan Tottenham berjaya membuka tirai jaringan menerusi Steven Bergwijn.
Neville beranggapan De Gea kini seperti kekurangan keyakinan yang mana aksi Piala Dunia 2018 menjadi titik tolak kepada permasalahan tersebut.
”Dia [David de Gea] merupakan seorang pemain yang begitu diharapkan oleh Manchester United untuk empat tahun terakhir, tetapi ia tidak lagi sama pada ketika ini.”
”Ia [persembahannya] amat berbeza sejak kebelakangan ini,” ujar Neville menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Sekiranya persembahan anda menurun untuk enam bulan, ia merupakan perkara sementara tetapi sekiranya ia turun sehingga setahun, anda perlu untuk risaukan mengenainya.”
”Tetapi jika ia berlanjutan kepada dua tahun, ia akan menjadi perkara kebiasaan buatnya.”
”Jadi, adalah adil pada ketika ini memberikan kritikan buat De Gea kerana dia telah membuat banyak kesilapan.”
”Ia adalah berkait dengan soal kepercayaan diri. Lengan, kaki dan badan masih sama, jadi masalahnya adalah pada mindanya,” tambah Neville lagi.
”Apa yang diterimanya ketika bersama Sepanyol amat mengganggu dirinya. Sehinggakan dia di’boo’ oleh penyokong negaranya sendiri ketika dia menyarung jersi Sepanyol.”
”Dalam Piala Dunia 2018, dia begitu bergelut dan sejak daripada itu dia kelihatan seperti ragu-ragu terhadap diri sendiri. Secara mentalnya dia bukan yang sama.”
De Gea menyertai Manchester United dari Atletico Madrid dengan yuran perpindahan bernilai £18.9 juta selepas pengendali pada ketika itu, Sir Alex Ferguson mahukannya untuk menjadi pengganti kepada Edwin Van Der Saar yang mengumumkan persaraannya.