Nelo Vingada Berminat Serap Beberapa Pemain Skuad Sukan SEA

Ketua jurulatih, Nelo Vingada memberikan bayangan beliau berminat untuk menyerap masuk beberapa pemain daripada skuad Sukan SEA untuk melengkapkan senarai pemain skuad kebangsaan. Ini adalah berdasarkan kenyataannya selepas aksi menentang Syria tempohari.

“Terdapat beberapa pemain daripada skuad B-22 yang tidak dapat bersama kami kerana terlibat dengan Sukan SEA, tetapi mungkin selepas ini kita berpeluang untuk membawa satu atau dua pemain untuk bersama skuad kebangsaan,” ujar Vingada kepada pihak media.

Vingada akan memanfaatkan tempoh seminggu sebelum menentang Hong Kong untuk aksi kedua kelayakan Piala Asia 2019 yang dijadualkan pada 5 September depan. Dan tanpa berselindung beliau turut menyatakan yang beberapa anak buah Datuk Ong Kim Swee akan dipanggil selepas berakhirnya Sukan SEA nanti.

Nelo Vingada. Photo By Nizam Rahman – www.asiana.my

“Saya masih ada masa seminggu sebelum menentang Hong Kong untuk memanggil pemain yang saya fikirkan bagus selepas Sukan SEA nanti, tidak kira apa posisi sekalipun,” kata Vingada.

Selain itu, Vingada juga nyata berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan oleh dua pemain yang pertama kali bersama-sama skuad kebangsaan kali ini, iaitu penyerang, Shahrel Fikri Mohd Fauzzi dan pemain tengah, Kiko Insa.

“Dia (Shahrel Fikri) sangat pantas, tetapi semestinya tidak mudah baginya yang beraksi di Liga Premier untuk beraksi menentang Syria,” jelas Vingada yang turut menyatakan kem skuad kebangsaan terbuka untuk sesiapa sahaja, selagi mereka adalah pemain yang bagus dan berbangga untuk menyarung jersi kebangsaan.

Bercakap mengenai Kiko Insa pula, Vingada resah akan tahap kecergasan pemain tersebut sehingga terpaksa dikeluarkan lebih awal iaitu pada minit ke-60.

Pengendali berusia 64 tahun itu memberi bayangan Kiko Insa akan beraksi penuh dalam perlawanan akan datang sekiranya kembali cergas.

Kiko Insa (18) dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan. Foto: Facebook FAM

“Dia (Kiko Insa) beraksi sejam (menentang Syria) dan telah membawa keseimbangan kepada pasukan serta berjaya memberikan perlindungan khusus kepada barisan pertahanan dengan banyak memenangi perebutan di udara. Beliau adalah pemain yang berkualiti,”

“Bersama Pahang, dalam tempoh sebulan setengah ini dia hanya beraksi sekali. Jadi, apa yang saya boleh katakan, dia telah kehilangan rentak,” ujar Vingada lagi yang turut menyatakan kehadiran Kiko Insa telah menyelesaikan sedikit isu di posisi tengah bertahan.

Vingada dipetik berkata kepada media yang beliau tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan yang tidak memihak kepada skuad negara, namun beberapa pemain telah mempamerkan aksi yang lebih baik.

“Perlawanan persahabatan seperti ini penting untuk memberikan kita pilihan untuk perlawanan sebenar selepas ini. Apabila kita mula menukar beberapa pemain, pasukan akan menjadi sedikit longgar. Tetapi sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan peluang dan lihat kemampuan pemain lain.

“Tiada siapa yang boleh bermain dengan hanya 11 pemain sahaja,” tambah beliau lagi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN