Nelo Vingada: Maestro Terbilang Dari Portugal Atau Jurulatih Yang Kian Hilang Sentuhan?

Dua hari yang lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan perlantikan Nelo Vingada sebagai Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya yang baharu.

Pengumuman tersebut menamatkan penantian penyokong dan pengikut bola sepak tanah air sejak Mario Gomez disahkan bukan lagi pilihan Presiden FAM, DYAM Tunku Mahkota Johor pada April lepas.

Siapakah Nelo Vingada? Layakkah beliau? Kami perkenalkan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya yang baru ini kepada anda.

Kredit:

Senarai Semak Harimau Malaya

Jika analisa dilakukan terhadap resume Nelo Vingada, sukar sekali untuk kita menidakkan kelayakkan beliau.

Jurulatih kelahiran Portugal ini punyai sebab untuk digelar “The Professor” oleh komuniti bola sepak Asia.

Anda mahu melihat skuad kebangsaan Malaysia layak ke Piala Asia 2019? Vingada telah memimpin Arab Saudi menjuarainya.

(Photo by NurPhoto/NurPhoto via Getty Images)

Ingin membangunkan bakat muda di Malaysia? Vingada membantu pasukan Portugal B-20 bergelar juara sebanyak 2 kali dalam kejohanan FIFA B20 sebagai pembantu Carlos Queiroz.

Jika kejayaan di peringkat kelab yang anda persoalkan? Vingada telah membuktikan keupayaannya dengan membawa kelab di Mesir dan Korea Selatan bergelar juara.

Senarai semak ini membuktikan Nelo Vingada memenuhi semua kriteria yang dikehendaki untuk mengubah nasib bola sepak Malaysia di peringkat anatarabangsa.

Apakah Isunya?

Perkara yang merunsingkan terletak pada usia pengendali tersebut. Pada usia 64 tahun, Vingada tua lebih sedekad berbanding dengan Jose Mourinho atau pun David Moyes.

Satu fakta yang perlu diambil kira, ialah pencapaian terbaik Vingada yang tersenarai dalam senarai semak di atas tercapai agak lama dahulu.

Kejuaraan bersama skuad Portugal B20 adalah pada tahun 1989 dan 1991. Arab Saudi menjulang Piala Asia pada tahun 1996. Manakala kejayaan di peringkat kelab adalah kira-kira 6 tahun yang lalu.

Malah sejak meninggalkan FC Seoul pada 2010, Vingada punyai pengalaman yang beliau sendiri ingin lupakan ketika bersama Dalian Shinde di Liga Super China.

(Photo by NurPhoto/NurPhoto via Getty Images)

Kelab berkenaan hanya memenangi 8 daripada 30 perlawanan di bawah kendalian Vingada.

Ketika bersama skuad Iran B23, salah satu pasukan bawah umur yang terkuat di Asia, rekod beliau sangatlah teruk. Vingada gagal menang dalam kesemua 6 perlawanan yang dikendalikannya.

Ia adalah era paling teruk dalam bola sepak Iran apabila rebah 4-1 di tangan Vietnam dan seri 1-1 dengan pasukan kerdil, Kyrgyzstan.

Pencapaian Vingada pada 2016 di Liga Super India adalah sederhana, namun tidak ada rekod yang boleh dibanggakan.

NorthEast United gagal layak ke aksi final. Kelab India tersebut mengakhiri musim di tangga ke-5 dalam kejohanan 8 pasukan, menang 5 daripada 14 perlawanan.

Maestro Yang Hilang Relevan

Adalah sesuatu yang agak keras jika kita mengatakan perlantikkan beliau sudah tidak lagi relevan.

Ketua Jurulatih Thailand, Milovan Rajevic juga tidak punyai banyak perkhabaran positif sejak membawa Ghana ke peringkat suku akhir Piala Dunia 2010- jika itu adalah perbandingan yang wajar.

Tempoh terbaik kedua-dua pengendali mungkin sudah berlalu. Fakta bahawa Nelo Vingada tidak punyai pengalaman melatih pasukan di rantau Asia Tenggara juga tidak membantu mengubah perspektif tersebut.

Kemampuan kewangan FAM jelas tidak boleh disamakan dengan kekuatan kewangan badan induk bola sepak di Arab Saudi.

(Photo credit should read KARIM JAAFAR/AFP/Getty Images)

20 tahun yang lalu, Vingada berjaya melaksanakan tugasnya bersama di negara teluk berkenaan. Hakikat Vingada memilih untuk ke Malaysia menunjukkan ia adalah kerana isu bajet, hadir tanpa barisan kejurulatihannya pilihannya sendiri.

Jika perlawanan menentang Korea Utara pada 8 Jun akan datang diadakan seperti terjadual, ini bermakna Vingada punyai tempoh 2 minggu untuk melakukan persiapan.

Ini juga bermakna Vingada terpaksa bergantung harap kepada pembantu beliau, Tan Cheng Hoe, jurulatih yang beliau sendiri belum pun sempat bersapa.

Kesilapan Perancangan FAM?

Tidak sukar untuk memahami kenapa Presiden FAM, DYAM Tunku Mahkota Johor sanggup untuk berbelanja besar bagi mendapatkan jurulatih terbaik skuad kebangsaan.

Baginda sudah lama menyatakan hasrat baginda untuk mendapatkan seorang maestro daripada negara Eropah.

Ia adalah untuk menterjemahkan filosofi dan DNA bola sepak yang Baginda inginkan untuk Harimau Malaya. Selain daripada itu, ia turut memberi peluang untuk melatih jurulatih tempatan.

Tunku Ismail, Tunku Mahota Johor. Kredit: www.fam.org.my

Tetapi tugas sedemikian adalah peranan seorang Pengarah Teknikal, dan bukan dipertanggungjawabkan kepada jurulatih yang kita harapkan untuk memberi impak segera dalam pusingan kelayakkan Piala Asia.

Untuk pilihan yang lebih relevan, Bojan Hodak atau Robert Alberts yang berada di Indonesia adalah pilihan yang lebih wajar.

Alberts dan Hodak adalah jurulatih yang turut berada dalam senarai akhir pemilihan sebelum Datuk Ong Kim Swee dipilih menjawat tugas pengendali skuad kebangsaaan sebelum ini.

Untuk rekod, Robert Alberts mempunyai rekod cemerlang dengan membimbing PSM Makassar ke puncak Liga 1 Indonesia.

Sasaran Relevan Untuk Vingada

Sebagai jurulatih asing pertama dalam tempoh lebih sedekad membimbing pasukan Harimau Malaya, pencapaian Vingada haruslah lebih cemerlang daripada mantan jurulatih tempatan sebelumnya.

Keputusan segera adalah wajib dan ditagih secara terus. Jika skuad Harimau Malaya gagal melayakkan diri ke kejohanan Piala Asia 2019 di UAE, ia akan dianggap sebagai satu kegagalan.

Nelo Vingada dukung harapan peminat bola sepak negara.

 

Kegagalan ke Piala Asia 2019 sekaligus akan memberi kesan moral kepada pasukan dan harapan penyokong negara. Ia sekaligus akan meruntuhkan semangat bola sepak di negara ini.

Kegagalan ke Piala Asia 2019 turut akan merosakkan usaha di peringkat akar umbi kerana usaha memartabatkan jurulatih tempatan pasti akan ikut sekali terbantut.

Pusingan akhir kelayakkan Piala Asia 2019 akan dimuktamatkan pada bulan Mac 2018. Pada ketika itu, kita akan merefleksi kembali pencapaian Nelo Vingada.

Rumusan

Persoalan yang akan terjawab kemudian: Adakah benar Vingada merupakan seorang pakar motivasi dan taktikal seperti Carlos Queiroz?

Atau adakah Vingada seorang jurulatih, ibarat seorang musafir lalu, di mana zaman gemilangnya hanya dibanggakan ketika Safiq Rahim masih di bangku persekolahan sekolah rendah?

Nyatakan pendapat anda di ruangan komen. Kami ingin mendengarnya daripada anda.

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN