Nelo Vingada Letak Jawatan, Cabaran Adaptasi, Statistik Tak Diingini Dan Kualiti Pemain

Perletakan jawatan Nelo Vingada telah menjadi topik hangat kepada peminat bola sepak Malaysia. Kami gariskan 5 perkara daripada perletakan jawatan ini.

1. Tugasan berat

Nelo Vingada datang ke Malaysia pada Mei lalu dan cabaran utama beliau adalah kelayakan Piala Asia 2019. Ianya bukan tugas mudah untuk mana-mana pengendali bola sepak di dunia kerana ia melibatkan pasukan Malaysia.

Jika ada iklan jawatan kerja, kami letakkan jawatan ketua jurulatih Malaysia sebagai antara kerja yang paling sukar di dunia.

Malaysia diundi sekumpulan dengan Korea Utara, Hong Kong dan Lebanon. Ramai yang menyatakan beliau datang pada masa yang salah.

Kredit Foto: Facebook HK League.

Tetapi itu sudah lumrah bagi jurulatih. Tiada istilah masa kurang tepat dalam kamus hidup mereka. Ada peluang untuk bertugas mereka akan ambil.

Adaptasi yang lambat oleh Vingada antara faktor yang menambahkan lagi kesukaran beliau. Setiap jurulatih memerlukan adaptasi, namun untuk pasukan seperti Malaysia, ia memerlukan adaptasi yang sangat cepat terutama sekali pengendali asing yang tidak pernah tahu akan bola sepak Malaysia dan Asia Tenggara,

2. Keputusan menentang Hong Kong

Bak kata jiran kita di seberang, keputusan menentang Hong Kong agak besar ongkosnya untuk dibayar. Vingada berhadapan dengan perlawanan kompetitif yang agak kuat dengan beberapa perlawanan kelayakan dibatalkan kerana perkara yang tidak dapat dielakkan.

Gambar kredit: Freemalaysiatoday

2 perlawanan menentang Hong Kong, Malaysia longlai dan layu. Keputusan seri dan kalah itu dicatatkan dengan corak permainan yang agak hambar.

Sebelum itu Malaysia juga gagal untuk menang ke atas Myanmar dalam perlawanan persahabatan.

3. Gagal membentuk tulang belakang pasukan

‘Backbone’ dalam pasukan itu sangat penting. Vingada gagal melakukannya. Jika anda ingat bagaimana K. Rajagobal dan Ong Kim Swee yang suka memanggil beberapa pemain yang sama dalam pasukan mereka kerana itu tulang belakang pasukan mereka.

Misalnya, Ong Kim Swee sukakan pemain seperti Fakri Shaarani dan Adam Nor Azlin, kerana 2 pemain ini memahami kemahuan taktikal beliau. Peminat mungkin akan bising awalnya tetapi apabila pemain-pemain ini memberikan impak dalam perlawanan, mereka akan faham kenapa pemain-pemain ini dipilih.

Itu yang dilakukan Joachim Loew ketika terus memanggil pemain seperti Klose, Podolski dan Schweinsteiger dahulu walaupun mereka jarang bermain di kelab mereka.

Namun anda harus faham, ini pemain yang sangat tahu apa yang dikehendaki jurulatih bukannya pemain yang dipanggil setiap kali pemilihan tetapi gagal memberikan impak. Itu bukan dikira pemain tulang belakang pasukan.

Dollah Salleh pernah melakukannya ketika memanggil Shukor Adan satu ketika dahulu. Pemain ini tahu apa kehendak taktikal Dollah Salleh.

Pembentukan tulang belakang pasukan ini juga penting kerana pemain-pemain ini yang agak berjuang mati-matian untuk jurulatih mereka. Aspek ini tiada dalam pasukan Malaysia.

Tiada pemain dalam skuad Malaysia yang benar-benar berjuang untuk Vingada. Pemilihan pasukan yang lemah dengan terlalu bergantung kepada nama-nama senior yang kurang minit perlawanan. Terlalu ramai pemain yang kurang minit perlawanan dipanggil.

4. Statistik yang tidak dikehendaki

Ini juga menjadi isu yang panas. 2 kali Malaysia jatuh ke ranking terendah dalam sejarah iaitu ranking ke-170 dan kemudiannya ke-174.

Kurangnya perlawanan yang boleh menaikkan rangking dalam kalendar Vingada antara isu yang kita harus terima.Tetapi dalam mana-mana negara di dunia sekalipun, peminat akan bising tentang nombor pada ranking. Ini perkara yang Vingada sudah jangka dan biasa lalui dalam karier beliau.

Salah satu sebab beliau letak jawatan adalah kerana kemerosotan prestasi yang dinilai berdasarkan angka ranking.

Seterusnya, statistik 7 perlawanan tanpa sebarang kemenangan adalah sesuatu yang memburukkan lagi keadaan. Kali terakhir Malaysia menang adalah 16 November 2016. Dan kini sudah lebih setahun kita gagal menang sebarang perlawanan.

(Photo by NurPhoto/NurPhoto via Getty Images)

Secara statistik Vingada mencatatkan:

Perlawanan: 7
Menang: 0
Seri: 1
Kalah 6:
Gol: 5
Bolos: 16

Seterusnya pencapaian pasukan belia dan remaja yang positif membuatkan Vingada menjadi subjek perbandingan pencapaian.

5. Kualiti pemain

Akhir sekali kami gariskan kualiti pemain Malaysia sendiri. Jika pemain itu sudah sampai di hadapan kotak penalti dan tak tahu nak buat apa. Ada yang tiba-tiba hilang bola ataupun terjatuh kerana gugup, itu bukan masalah pada Vingada. Itu masalah teknikal pemain.

Jika pemain itu melakukan hantaran panjang yang terus kepada penyokong itu bukan masalah pada Vingada. Tetapi realitinya, aspek teknikal pemain Malaysia memang agak statik berbanding dengan negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, Myanmar, Vietnam dan Filipina.

Kita selalu berbangga menewaskan pasukan seperti Indonesia walaupun hakikatnya lawan kita lebih baik kualiti teknikal. Pemain mereka lebih tajam sentuhan dengan bola. Lebih berani menggelecek.

Itu yang kerap diulas pengulas bola sepak luar, ‘kita menang dengan cara hodoh hari ini’. Cara bola sepak pemain yang bermain hanya untuk menang ini tidak ada legasi.

Kita akan menikmati keputusan perlawanan tetapi tiada kesinambungan di dalam aspek teknikal dan taktikal bola sepak. Perkara ini kami pernah ulas dalam artikel DNA Bola Sepak Yang Perlu Dicari, Diperinci Dan Difahami

Ada tak pemain kita yang melakukan latihan tambahan di rumah ataupun ada sesi mereka sendiri secara individu? Ramai yang masih bergantung dengan latihan berpasukan semata-mata kerana tak nak ditolak gaji kerana itu dikira kerja hakiki.

Foto: Mohd Azren Jamaludin

Jika anda suka mendengar temu ramah dengan pemain ternama di dunia, mereka sentiasa menyebut latihan tambahan adalah kunci utama yang akan membuatkan mereka meningkatkan prestasi paling tidak untuk cuba mengekalkan prestasi.

Jika aspek ini tidak diperbaiki, sampai bila-bila kita tidak ada DNA bola sepak dan kita akan bertukar ganti jurulatih. Selepas itu kita akan bercakap, ‘tunggu budak-budak NFDP’. Ini secara tak langsung sudah memberikan tekanan yang tak perlu kepada pemain dari program NFDP.

Selamat tinggal dan terima kasih

Apapun, kami ucapkan terima kasih kepada anda Nelo Vingada kerana mencuba untuk membantu bola sepak Malaysia.

Harus diakui anda berani dalam menyatakan kerisauan kekurangan penyerang dalam negara kita kerana suasana bola sepak Malaysia, pemain tempatan gagal memberikan kompetisi kepada penyerang import.

Anda juga memberikan peluang kepada beberapa pemain muda.  Terima kasih

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN