Negeri Sembilan bakal menghadapi saingan seterusnya dalam aksi Liga Super dengan pertemuan membabitkan pasukan itu menentang Selangor pada hari Isnin di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi.
Jika dilihat pada statistik lima perlawanan lalu, Negeri Sembilan gagal mencipta sebarang keputusan positif apabila mereka mencipta semua kekalahan termasuk perlawanan terakhir pada saingan Piala FA lalu.
Walaupun begitu, Hoben Jang Hoben dilihat optimis untuk mengharungi perlawanan tersebut dengan mereka menganggap keputusan positif mampu dilakar ke atas lawan.
Apatah lagi mereka kini dalam momentum terbaik selepas kejayaan Negeri Sembilan menewaskan Negeri Sembilan pada pusingan kedua 16 terbaik Piala Malaysia 2024/2025 lalu.
Pengharapan kini sudah tentu terarah pada aksi bertemu The Red Giants dengan mereka impi untuk meraih kemenangan di halaman sendiri serta memberi lebih banyak keyakinan buat Negeri Sembilan.
Suara positif itu juga dibawa sendiri oleh kapten pasukan iaitu Nasrullah Hanif Johan dengan beliau menyifatkan aksi bertemu Selangor sebagai peluang mereka untuk meraih kemenangan.
Malah beliau bersama rakan sepasukan lain dilaporkan sedia menggunakan setiap peluang terhidang untuk mencapai harapan tersebut, walaupun ia bukannya mudah.
“Kami sedar cabaran berdepan Selangor berdasarkan reputasi pasukan itu yang dibarisi ramai pemain hebat terutama tenaga import mereka.
“Tetapi dengan kelebihan yang kami miliki beraksi di laman sendiri, saya yakin dan percaya semua pemain akan bekerja keras dalam memastikan keputusan positif dapat dicapai,” kata Nasrullah menerusi laporan daripada Harian Metro.
Pada masa sama, Nasrullah juga menyatakan mereka sedia membalas segala kepercayaan telah diletakkan oleh penyokong sebelum itu untuk memberi tonik positif kepada kelab.
Musim ini menyaksikan Negeri Sembilan sebenarnya mengambil masa yang sedikit panjang untuk menyesuaikan diri sehingga mereka meraih kritikan dalam kalangan peminat.
Carta liga menyaksikan Negeri Sembilan berada di tangga tercorot, selepas hanya meraih satu kemenangan sahaja dan dibezakan satu mata sahaja berbanding Kelantan Darul Naim (KDN).
Sudah tentu kemenangan kedua musim ini ditagih para peminat supaya mereka dapat keluar daripada tangga tercorot Liga Super serta menjadi lebih baik.