Negeri Sembilan jelas tampil dengan sedikit tempang ketika ini selepas mereka terpaksa melupakan seketika khidmat pemain tengah berpengaruh iaitu Sebastian Avanzini yang mengalami kecederaan.
Terdahulu, Avanzini menjadi antara rekrut terbaharu Negeri Sembilan ketika jendela perpindahan kedua dibuka dalam usaha mereka untuk menjadi lebih baik terutama di posisi tengah dan serangan.
Apa tidaknya, Negeri Sembilan terdahulu tampil serba goyah terutama daripada segi penguasaan bola yang menyaksikan khidmat pemain dari Itali itu diperlukan mereka untuk mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M).
Seperti diketahui, Avanzini memberikan impak cukup positif pada musim lalu bersama Kuala Lumpur City (KL City) terutama daripada segi kualiti permainan yang cukup menyakinkan.
Tanpa kelibat Avanzini kini yang mengalami kecederaan, jelas ia begitu dirasai oleh Negeri Sembilan serta diakui oleh pengendali kelab itu sendiri, K. Nanthakumar.
Avanzini sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan ketika mengharungi aksi Liga Super berdepan Selangor pada pertengahan Disember lalu dan ia dianggap menjejaskan prestasi semasa pasukan tersebut.
Menurut Nanthakumar, beliau mengakui sangat memerlukan khidmat Avanzini yang sebelum itu sangat agresif di posisi tengah demi membantu barisan serangan mendapatkan gol.
“Memang khidmat dia (Avanzini) amat diperlukan tapi kita tak boleh paksa dia walaupun terpaksa menunggu lama, tak guna jika kita guna juga, yang akhirnya akan memberi impak yang lebih serius kepada pasukan.
“Kita terpaksa memberi peluang kepadanya untuk menjalani proses pemulihan sebaiknya dan jika dia dah ok dan kembali cergas selepas menjalani latihan, barulah kita akan bagi peluang kepadanya untuk bersama pasukan dalam perlawanan.
“Kita tak akan paksa Avanzini, meskipun dia pemain yang bagus yang boleh membantu menjana kemenangan pasukan,” kata jurulatih tersebut menerusi Harian Metro.
Bersama Negeri Sembilan musim ini, Avanzini sudah pun merekodkan tujuh penampilan bersama dua gol diledak pemain tersebut bersama aksi cukup menyakinkan.
Tampil agresif dan bijak mencari ruang untuk mencipta serangan, penampilan Avanzini sebenarnya sudah pun mencuri tumpuan ramai sejak musim lalu lagi ketika mewakili KL City.
Tanpa Avanzini, jelas Negeri Sembilan ketika ini terpaksa bergantung harap kepada khidmat Jacque Faye serta Barathkumar Ramaloo sahaja untuk menggerakkan jentera tengah pasukan.