Pasukan Negeri Sembilan seolah-olah mendapat semangat baharu apabila mengumumkan kemasukan jurulatih baharu yang berpengalaman luas dalam kancah bola sepak tempatan iaitu Mohd Azraai Khor.
Malah, Azraai yang pernah melatih pasukan Kedah itu tekad lakar kejutan ke atas skuad Helang Merah itu pada saingan pusingan kedua Piala FA di Stadium Darul Aman hari jumaat ini.
Pengendali yang berusia 65 tahun itu akan merangka strategi terbaik untuk memastikan skuad Hobin Jang Hobin mara ke pusingan seterusnya dalam Piala FA musim ini.
“Walaupun terpaksa menyediakan pasukan bagi menghadapi Kedah dalam tempoh singkat tetapi ia bukan suatu tugas yang terlalu sukar kerana rata-rata pemain Kedah amat saya kenali, malah corak serta persembahan mereka juga dalam pengetahuan saya.
“Saya juga sudah membuat analisa dan statistik permainan pasukan lawan dan seterusnya akan berbincang dengan Mohd Asri Ninggal (penolong jurulatih) petang ini bagi merangka strategi terbaik.
“Saya yakin kita akan dapat melihat aksi pemain Negeri Sembilan yang lebih memberangsangkan di Stadium Darul Aman, Jumaat ini,” katanya kepada Berita Harian.
Sementara itu, pemain pertahanan pasukan itu, Mohd Rizal Fahmi Rosid, berkata dia dan rakan sepasukannya mahu memastikan kekalahan pada aksi Liga Super minggu lalu tidak berulang lagi selepas ini.
“Walaupun kekalahan terbaru kepada Terengganu FC (TFC) dalam aksi liga, Jumaat lalu amat mengecewakan, tapi kami sudah melupakannya dan mahu menjadikannya sebagai pengajaran berguna supaya tidak berulang lagi pada perlawanan akan datang.
“Kini, fokus kami adalah kepada usaha mengatasi segala kelemahan itu dan meningkatkan lagi prestasi serta persembahan, kerana sedar cabaran dalam Piala FA, lebih mencabar.
“Namun, saya yakin dan percaya, walaupun terdapat kekurangan tetapi pasukan masih berupaya untuk memberikan saingan dan seterusnya mencapai kemenangan pada aksi menentang Kedah, Jumaat ini,” katanya.
Namun begitu, Rizal tetap berwaspada terhadap ancaman pasukan Kedah yang juga merupakan juara bertahan Piala FA dan menyifatkan skuad kendalian Ramon Marcote itu mempunyai kelebihan beraksi di halaman sendiri.
“Memang dari segi faktanya kelebihan berpihak kepada Kedah kerana mereka tampil selaku juara bertahan selain beraksi di laman sendiri, tapi itu tidak bermakna kami tidak boleh menewaskan mereka.
“Kami akan berusaha memberikan tentangan yang baik untuk mencapai keputusan memuaskan.
“Saya yakin dan percaya, rakan-rakan dalam pasukan juga bersedia untuk memikul tanggungjawab itu nanti kerana kami juga tidak mahu tersekat dalam kempen Piala FA musim ini.
“Apa yang penting, kami perlu melaksanakan setiap tugasan diamanahkan oleh jurulatih dengan baik bagi memastikan kemenangan dapat dicapai ke atas Kedah,” katanya.