Kemenangan 2-0 ke atas pasukan Kelantan kelmarin memberikan semangat tambahan kepada skuad Hobin Jang Hobin itu untuk meneruskan rentak cemerlang bagi memastikan mereka kekal dalam saingan Liga Super musim depan.
Pengendali baharu skuad itu, Mario Lemos mengakui lega apabila pasukan yang mula dikendalikannya pada 10 Mei lalu kembali mencatat kemenangan selepas 12 perlawanan Liga Super.
Beliau menyifatkan kemenangan itu adalah hasil usaha keras daripada pemainnya walaupun keputusan perlawanan tidak mampu mengubah kedudukan pasukan dalam Liga.
“Saya puas hati dengan persembahan ditunjukkan pemain dan kemenangan ini amat bermakna untuk membangkitkan semangat serta keyakinan pemain, walaupun tidak dapat mengubah kedudukan pasukan.
“Malah, saya juga mengakui bukan senang untuk pasukan ini bangkit tetapi pemain menunjukkan kesungguhan tinggi untuk menang dan membuktikan perubahan yang kita lakukan sudah mula menampakkan hasilnya.
“Saya harap pemain dapat kekalkan prestasi terbaik ini dan meneruskan momentum kemenangan untuk memastikan kami kembali bersaing dan dapat keluar daripada kelompok bawah,” katanya kepada Berita Harian.
Dalam perlawanan menentang Kelantan itu, dua pemain import baharu, Alex Moraes Gomes dan Angel Guirado muncul wira Negeri Sembilan apabila masing-masing menjaringkan gol kemenangan pasukan itu.
Walaupun gantingan Guirado dan Thanabalan cuba mengancam pada awal perlawanan, ia jelas mudah dipatahkan oleh barisan muda pertahanan Kelantan.
Tiada perubahan jaringan pada babak kedua perlawanan, dan walaupun Negeri Sembilan berjaya mengutip tiga mata, namun kekal di tangga tercorot saingan unifi Liga Super 2018 dengan Kelantan di tangga ke-11 kerana memiliki kelebihan jaringan.