Negeri Sembilan dilaporkan kini sedia untuk menurunkan barisan pemain terbaik mereka untuk menghadapi cabaran dalam saingan Liga Super malam ini berdepan Selangor untuk misi mendapatkan kembali tiga mata.
Tampil dengan serba perlahan, Negeri Sembilan menjadi antara pasukan paling banyak dikritik musim ini dengan membabitkan ramai penyokong mereka menerusi media sosial.
Hari perlawanan!
Setelah melalui 4 perlawanan di halaman lawan, skuad Jang kini kembali beraksi di Paroi.
Negeri Sembilan FC akan bertemu Selangor FC dalam aksi ke-20 Liga Super. pic.twitter.com/7tUxVZVzWE
— Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923) August 14, 2023
Tanpa persiapan yang begitu jelas sejak awal musim, Negeri Sembilan juga mempunyai isu kuota import tidak mencukupi untuk memberi persaingan sengit buat pasukan-pasukan lain.
Terbaharu, skuad kendalian K. Devan itu mencatat kekalahan tidak dijangka kepada Kelantan yang lebih banyak membariskan barisan pemain-pemain muda menerusi keputusan penuh 0-2.
Kekalahan itu menyaksikan kini Negeri Sembilan pastinya tertekan untuk kembali mendapatkan tiga mata penuh supaya kedudukan semasa carta liga dapat diperbaiki dengan lebih baik.
Namun begitu, aksi getir pula bakal diharungi mereka malam ini dengan membuat perhitungan seterusnya berdepan Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi.
Selangor ketika ini berada dalam prestasi terbaik mereka untuk terus mengekalkan momentum kemenangan, dan perkara ini perlu diberi perhatian oleh tuan rumah.
Menurut K. Nanthakumar selaku pembantu jurulatih pasukan itu, mereka bakal menyenaraikan barisan pemain terbaik untuk menghadapi cabaran daripada pelawat malam ini.
Antara yang bakal dipertaruhkan termasuk khidmat dua pemain import baharu mereka iaitu Youssef Ezzejjari serta tonggak sayap lincah dari Myanmar, Hein Htet Aung untuk mengetuai jentera serangan Negeri Sembilan.
Malah, penyerang import utama Negeri Sembilan musim ini iaitu Casagrande juga sedia untuk dibawa turun bagi berpasangan bersama Ezzejjari di posisi utama serangan kelab.
Persiapan pasukan menjelang aksi Liga Super malam esok.
Skuad Jang akan melayani kunjungan Selangor FC di Paroi. Sepak mula perlawanan ialah pada jam 9 malam.
Semoga berjaya, Jang 🟡⚫️🔴#NSESEL#NSFC#HobinJangHobin pic.twitter.com/yu54eqy1Rt
— Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923) August 13, 2023
“Casagrande dalam dua perlawanan sebelum ini tidak dapat diturunkan kerana kurang cergas namun untuk perlawanan dengan Selangor, malam esok, khidmat dia sudah boleh dimanfaatkan.
“Selain Casagrande, dua lagi pemain import juga boleh berada dalam senarai kesebelasan utama iaitu Thet Aung dan Ezzejjari, namun kedudukan Shahrel Fikri Md Fauzi belum pasti kerana masalah kecergasan.
“Jadi, persiapan kita berdepan Selangor dilihat lancar dengan barisan pemain terbaik boleh diturunkan, malah pemain juga dilihat begitu bersemangat serta berjanji untuk berikan aksi terbaik bagi mendapatkan kemenangan,” katanya menerusi Harian Metro.