Negeri Sembilan bakal menghadapi aksi getir bagi saingan suku akhir Piala Malaysia 2023 tidak lama lagi selepas perlawanan seterusnya menyaksikan mereka akan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 15 September, 2023.
Walaupun berkelebihan beraksi di laman sendiri iaitu Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi, secara keseluruhan situasi semasa masih belum cukup untuk berpihak kepada Negeri Sembilan.
Setelah tampil dengan begitu cemerlang pada musim lalu, sentuhan berbisa Negeri Sembilan tahun ini seolah hilang begitu sahaja selepas hadir dengan begitu tidak konsisten dalam setiap perlawanan dihadapi.
Malah, pasukan tersebut juga dihantui isu kecederaan pemain serta isu percaturan taktikal daripada K. Devan tidak begitu memberansangkan sehingga dikritik segelintir penyokong.
Untuk aksi bertemu JDT, pastinya mereka enggan memberi laluan mudah buat skuad tersebut untuk melayakkan diri ke separuh akhir dengan persediaan rapi dilaporkan sedang dilakukan kem Negeri Sembilan.
Aspek daya tahan serta tahap disiplin antara dipertingkatkan pasukan dalam usaha untuk mengekang segala kemaraan cuba dibuat oleh JDT di Paroi.
Menurut Nasrullah Hanif Johan selaku penolong kapten pasukan, beliau mengharapkan supaya segalanya mampu dihadapi dengan baik untuk menangani kelab pelawat tidak lama lagi.
“Kami perlu membuat persiapan yang lebih rapi untuk perlawanan suku akhir Piala Malaysia ini kerana JDT adalah pasukan yang sempurna dan tiada mana-mana pasukan yang boleh menafikan kehebatan mereka.
“Untuk membolehkan saingan yang baik dapat diberikan, kami perlu meningkatkan lagi daya tahan dan disiplin bagi menghadapi tempoh 90 minit permainan yang dijangka sukar dan mencabar.
“Setiap pemain perlu bersedia untuk memberikan komitmen lebih 100 peratus, jika mahukan satu keputusan yang positif dapat dicapai,” katanya menerusi laporan Harian Metro.
Selain itu, Nasrullah juga menyatakan dirinya bersama rakan sepasukan lain akan terus gigih berusaha untuk memantapkan kekuatan semasa pasukan di segenap posisi pada perlawanan tersebut.
Antara faktor yang diberi keutamaan kini pastinya terarah kepada jentera serangan JDT yang ingin dihadapi mereka dengan lebih baik pada saingan itu untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
“Kepantasan jentera serangan JDT diakui berdasarkan pengalaman menentang pasukan itu ketika saingan Liga Super.
“Setiap pemain perlu bersedia dan bekerja keras melaksanakan tugas sepertimana diarahkan jurulatih.
“Jika ia dapat dilakukan dengan baik, saya percaya kita boleh memberikan saingan yang baik terhadap JDT,” kata Nasrullah pada akhir sekali mengenai perlawanan tersebut.