Dalam misi memburu kelompok dua terbaik Liga Premier 2020, Negeri Sembilan ‘menyimpan’ keempat-empat pemain import mereka musim lalu atas faktor keserasian dan juga sumbangan positif mereka dalam saingan Liga Premier musim 2019.
Pemain-pemain tersebut adalah pertahanan, Matheus Vila, pemain tengah berasal dari Jepun, Shunsuke Nakatake serta gandingan Brazil di jentera serangan iaitu Almir Neto dan Igor Luiz.
Igor Luiz dan Almir Neto masing-masing menyumbang lapan dan tujuh gol buat skuad Rusa dan merupakan penjaring terbanyak buat mereka – lebih separuh gol yang dihasilkan musim lalu.
Negeri Sembilan telah menamatkan musim di kedudukan ke-6 Liga Premier 2019 dengan 29 mata, beraksi di pusingan kedua Piala FA dan menamatkan saingan Piala Malaysia di peringkat kumpulan.
Bercakap kepada Bernama, Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dipetik berkata tujuh muka baharu turut dibawa masuk pihak pengurusan bagi mengukuhkan pasukan.
Antara pemain baharu yang sah menyarung jersi Negeri Sembilan adalah bekas pemain mereka, Shahurain Abu Samah, kapten PKNS FC, Shahrom Kalam dan juga bekas pemain Harimau Muda, Nur Shamie Iszuan Amin yang musim lalu beraksi bersama Sarawak.
“Faktor keserasian juga telah mendorong kita untuk mengekalkan mereka beraksi bersama Skuad Rusa musim depan. Kita percaya pemain import terbabit mampu memberikan sumbangan lebih baik pada musim depan,” ujarnya kepada pihak media.
Negeri Sembilan turut memberikan peluang buat bekas pemain skuad Piala Presiden musim lalu untuk dinaikkan pangkat ke skuad utama musim hadapan iaitu Idham Zuhair Roslisam, Khairul Anuar Yusri Lani dan penjaga gol, Muhammad Aizat Roslim.
Tunku Syed Razman turut memaklumkan pelantikan Sazali Saidun yang merupakan bekas ketua jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan selaku pengendali adalah atas pengalaman luasnya.
Sazali sebelum ini pernah menjadi penolong jurulatih Johor FA dari 2006 sehingga 2011, selain bertindak selaku penolong jurulatih skuad Harimau Muda C pada tahun 2014. Selain dilantik sebagai pengendali, Sazali turut ditugaskan sebagai pengarah teknikal.
Negeri Sembilan telah memulakan aksi pemanas badan dalam pra-musim kali ini dengan turun menentang Emzee FC pada Sabtu lalu dengan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2.
Kredit Foto: Negeri Sembilan FA