Pemain tengah berpengaruh, Nazmi Faiz Mansor tampil memberi bayangan seolah beliau bakal menjadikan Penang sebagai destinasi baharunya untuk mengharungi baki saingan musim 2024/2025.
Menerusi perkongsian di Instagram beliau beberapa hari lalu, Nazmi telah pun memuat naik foto Harimau Kumbang yang seperti semua tahu merupakan maskot atau simbol utama buat Penang.
Walaupun tiada pengesahan terbaharu dibuat, segelintir peminat Penang tampil dengan andaian Nazmi bakal menjadi pemain terbaharu menyertai kelab tersebut pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M).
Musim ini menyaksikan Nazmi sudah beraksi sebanyak 7 perlawanan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dan beliau perlu mengharungi persaingan sengit bersama rakan sepasukan lain seperti Afiq Fazail serta Nathaniel Shio Hong Wan.
JDT seperti diketahui sentiasa menjadi kelab yang terbaik untuk mewujudkan persaingan sengit dalam kalangan pemain untuk merebut slot kesebelasan utama pasukan.
Ada kemungkinan jua Nazmi bakal mengikut jejak langkah rakan-rakan lain seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad, dan lain-lain untuk dipinjamkan kepada kelab luar demi mendapatkan lebih banyak minit permainan.
Persoalannya kini, adakah Nazmi sebenarnya menjadi keperluan utama buat Penang pada saingan musim ini di pentas domestik bawah kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli?
Posisi tengah Penang sebenarnya tidak begitu kritikal jika dibandingkan sisi serangan mereka yang begitu tumpul sejak awal persaingan berlangsung.
Namun jika benar Nazmi menyertai Penang, ia bakal menjadi nilai tambah terbaik buat pasukan itu menerusi kualiti dimiliki beliau untuk memberi impak besar kepada perjalanan pasukan.
Kualiti rembatan jarak jauh, kreativiti, serta ketenangan Nazmi yang mengawal tempo permainan bakal menjadi aset utama buat pasukan itu bertambah baik demi memperbaiki aspek penguasaan serta variasi serangan.
Seperti Danial Amier di Kuching City, peluang cerah buat Nazmi untuk menjadi salah seorang jeneral berpengaruh buat Penang yang kini juga tidak mempunyai maestro terbaik di posisi tengah.
Gandingan antara Nazmi bersama Syamer Kutty Abba, serta import dari Brazil iaitu Neto Oliveira di bahagian tengah sedikit sebanyak mampu melonjak kembali Penang untuk bertambah baik pada saingan musim ini.
Pada pandangan anda, adakah Nazmi akan menyertai Penang atau ia hanya sebuah perkongsian foto daripada pemain tersebut di media sosial?