Nazirul Naim Sah Ke Sabah, Perak FC Ibarat ‘Kapal Tenggelam’

Nazirul Naim menjadi pemain terbaru yang ‘angkat kaki’ meninggalkan Perak FC selepas kemelut kegagalan pembayaran gaji melanda pasukan itu pada musim ini.

Sebelum Nazirul, pemain lain yang turut mengambil langkah sama sebelum ini adalah Shahrul Saad dan Guilherme de Paula (JDT), diikuti oleh Kenny Palraj dan J. Parthiban (KL City FC). Pemain pertahanan import dari Singapura, Shakir Hamzah turut dilaporkan kembali ke Liga Singapura pada bulan ini.

Bek kiri berusia 28 tahun itu semalam mengesahkan dirinya akan meninggalkan Perak FC melalui satu ciapan di akaun Twitter peribadinya.

Mengakui ia satu keputusan sukar untuk dilakukan, Nazirul berkata pilihan untuk menyertai Sabah terpaksa dilakukan demi karier dan keluarganya.

Hari ini Sabah FC tidak membuang masa mengumumkan ketibaan Nazirul yang turut memiliki 20 kaps antarabangsa itu melalui rangkaian media sosial mereka.

Nazirul bukan lagi watak asing di dalam bola sepak Perak apabila menyarung jersi skuad Seladang sejak 2016, selepas meninggalkan skuad Harimau Muda.

Sepanjang tempoh itu, Nazirul sempat membantu Perak FC menjulang Piala Malaysia pada 2018, di bawah kendalian Mehmet Durokovic.

Menjadi pemain utama keenam meninggalkan Perak FC sepanjang Mei ini, Perak FC kini ibarat retak menanti belah.

Tidak keterlaluan untuk kita katakan ini adalah krisis terburuk di dalam bola sepak Perak sejak penubuhannya 100 tahun yang lalu.

 

 

Baca artikel menarik lain mengenai Perak FC:

‘Analisis Hujan’ Brader Ipoh Ini Buat Netizen Geli Hati

Kenny Pallraj: Pemain Bola Sepak, Pelajar Dan Penternak Berjaya

Datuk Seri Vida Mahu Kembali Ke Liga Malaysia Dengan Jadi Pemilik Perak

 

Leave a Reply