Natxo vs Kiko: Perseteruan Insa Bersaudara Dalam Liga Malaysia

Tindakan Pahang dan JDT menandatangani Insa bersaudara sebagai pemain tempatan dianggap suatu tindakan yang unik dan pertama kali berlaku dalam liga Malaysia.

Hal ini saling tidak tumpah seperti apa yang pernah dilakukan oleh Filipina pada tahun 2005 yang mendaftarkan pasangan adik beradik berdarah campuran England-Filipina iaitu Philip Younghusband dan James Younghusband sebagai pemain pasukan bola sepak Filipina

Pada masa tersebut kedua-dua beradik Younghusband merupakan pemain dari akademi bola sepak Chelsea. Mereka sempat menjadi pemain sensasi ketika Sukan SEA 2005 yang diadakan di Manila.

Tidak kurang hebatnya dengan kisah Insa bersaudara kerana kedua-duanya memulakan karier di Sepanyol dengan kelab-kelab yang ternama di Sepanyol.

Natxo (31 tahun) memulakan karier di Valencia B sebelum dinaikkan pangkat ke pasukan utama Valencia, seterusnya mengembangkan kariernya di Villareal, Celta Vigo, Real Zaragoza dan Levante UD.

Manakala Kiko (29 tahun) memulakan kariernya bersama kelab-kelab seperti Albacete, Real Murcia dan Elche.

Kisah dua beradik yang mewakili dua musuh ketat

Namun apa yang menjadikan penghijrahan Natxo dan Kiko Insa ke Malaysia adalah lebih menarik berbanding kisah Younghusband bersaudara ialah kedua-dua adik beradik ini mewakili dua buah kelab berbeza dan merupakan musuh tradisi sejak 2013.

Perpindahan ini bermaksud kedua-dua beradik ini akan bermain untuk pasukan musuh masing-masing dan menentang satu sama lain.

Pahang membawa Kiko pulang ke Malaysia

Pelbagai berita, teori dan kisah berkaitan dua beradik ini tular di media sosial.

Namun begitu, segala usaha mendaftarkan mereka sebagai pemain tempatan bermula apabila Pahang berjaya menandatangani Kiko Insa yang dilepaskan oleh Arema, sebuah kelab dari Indonesia kira-kira pada bulan Januari yang lalu.

Kredit: Pahang FA

Kiko Insa merupakan pemain berdarah campuran kedua pasukan tersebut selepas Matthew Davies.

Kisah Kiko jadi orang Malaysia tular di Indonesia

Berita tentang kejayaan Kiko Insa menjadi pemain berstatus pemain tempatan Malaysia juga pernah menjadi bahan kritikan dan jenaka di Indonesia.

Ini kerana sebelum itu Kiko telah berkali-kali menyatakan hasrat kepada Arema untuk dinaturalisasikan sebagai rakyat Indonesia.

Untuk rekod, Kiko merupakan pemain yang cukup popular dalam kalangan penyokong Arema. Usaha Kiko meminta sahabatnya, Saul Niguez, bintang Atletico Madrid menyampaikan ucapan ‘Salam Satu Jiwa’ sempena Ulang Tahun Arema telah menyebabkan penyokong Arema begitu sayang akan Kiko.

Namun insiden perselisihan faham antara Kiko dengan jurulatihnya, Selsija Milomir membuatkan populariti dirinya merudum dan dipinjamkan ke Bali United sebelum berpisah dengan Arema.

Setelah berita kejayaan proses mendaftarkan Kiko sebagai pemain tempatan berjaya, penyokong Indonesia melabelkannya sebagai pemain tanpa arah tuju kerana mahukan status naturalisasi dari kedua-buah negara.

Namun kritikan tersebut berlalu begitu sahaja dan Kiko terus didaftarkan dalam skuad pahang dan diletakkan di posisi pemain tengah bertahan (CDM) pasukan Pahang.

Natxo menggemparkan Liga Malaysia

Selang enam bulan kemudian, JDT menggemparkan bola sepak tempatan apabila mengambil langkah yang serupa dengan membawa masuk abang kandung Kiko Insa ke dalam pasukan musuh ketat Pahang itu.

Ironinya ialah Kiko dikatakan menjadi ‘watak utama’ yang membantu JDT membawa abangnya masuk ke dalam skuad JDT.

Perpindahan ini dilabel oleh peminat dengan jelas bahawa Natxo bakal menguatkan jentera tengah JDT. Tindakan Kiko hanya akan menyukarkan usaha kelabnya untuk bersaing dengan JDT dalam perebutan takhta liga.

Proses menandatangani Natxo dijangkakan oleh penyokong pastinya adalah lebih sukar kerana Natxo baru sahaja berjaya membawa pasukannya menjuarai liga dan layak untuk kembali beraksi di La Liga.

Pelbagai teori muncul yang mengatakan natxo tidak akan mengorbankan peluangnya untuk beraksi di La Liga dengan menerima pelawaan JDT untuk bermain di bumi Malaysia.

Namun segala teka-teki berkaitan penghijrahan Natxo ke pasukan JDT tamat apabila JDT tampil mengumumkan bahawa mereka berjaya membawa Natxo pulang ke negara asal keluarganya ini.

Impak Kiko dan Natxo kepada liga Malaysia

Sehingga kini, kejayaan Pahang menandatangani Kiko belum menampakkan ganjarannya.

Pahang masih belum mampu menuai hasilnya apabila Kiko masih belum menampilkan sebarang impak yang boleh dibanggakan melalui persembahannya bersama Pahang.

Malahan beliau hanya mengundang beberapa kontroversi termasuklah insiden yang melibatkan terjahan kasarnya terhadap pemain PKNS FC, Safee Sali sehingga mengundang ketidakpuasan hati Safee yang mengkritik Kiko melalui media sosialnya.

Kontroversi paling hangat adalah semasa perlawanan akhir Piala FA 2017 apabila dia dilayangkan kad merah selepas mengasari Rizal Ghazali hingga memaksa Pahang bergelut dengan sepuluh orang pemain.

Manakala bagi kem JDT pula, mereka tampil dengan kejutan apabila membawa pulang seorang lagi generasi Insa ke Malaysia apabila menandatangi Natxo Insa daripada kelab Sepanyol Levante UD.

Berbeza dengan Kiko, Natxo mempunyai reputasi yang lebih besar dalam arena bola sepak dan telah memberikan impak yang cukup besar dalam kalangan pengamal media baik di Malaysia mahupun negara sekitar meskipun belum memulakan sebarang aksi bersama pasukan JDT.

Perang netizen

Kemasukan Kiko dan Natxo sebenarnya merupakan rencah penting yang menjadikan persaingan liga Malaysia menjadi lebih menarik.

Usaha JDT membawa masuk Natxo selepas Pahang membawa masuk Kiko enam bulan terdahulu telah mencetuskan perang psikologi dan perang mulut dalam kalangan netizen yang merupakan kalangam penyokong kedua-dua buah pasukan.

Sesetengah penyokong kedua-dua buah pasukan dilihat cuba memprovokasi pasukan masing-masing dengan menggambarkan kehebatan skuad pencari bakat masing-masing mereka yang telah berjaya membawa Insa bersaudara ke Malaysia.

Pihak penyokong Pahang mendakwa bahawa pasukan pencari bakat mereka bertindak pantas dan beberapa langkah ke hadapan kerana berjaya membawa Kiko ke Malaysia dan usaha mereka telah membuka peluang JDT mendapatkan abangnya iaitu Natxo.

Sesetengah penyokong Pahang mendakwa JDT tidak berusaha lebih kerana kelihatan hanya seperti meniru usaha yang dilakukan oleh Pahang.

Manakala bagi pihak penyokong di sebelah Selatan pula mendakwa bahawa pasukan mereka bertindak dengan lebih efektif dan agresif untuk mendapatkan Natxo yang lebih sukar untuk diperoleh dan lebih bernilai berbanding si adik.

Terdapat juga suara-suara nakal yang mendakwa Pahang tidak bertindak bijak dan tergesa-gesa kerana membawa masuk Kiko telebih dahulu dan bukan si abang, Natxo.

Walaupun Natxo ditandatangi dengan harga yang mahal namun daripada aspek kualiti permainan pemain tersebut dan nilai tambah yang akan dibawa oleh pemain tersebut kepada pasukan JDT dianggap berbaloi.

Kemasukan Natxo Insa ke JDT adalah ibarat membawa masuk ‘marquee player’ ke dalam liga Malaysia.

Hal ini dikatakan demikian kerana peluang Pahang untuk mendapatkan si abang akan menjadi tipis setelah menandatangi si adik kerana kedua-dua mereka bermain di posisi yang sama.

Pelbagai persoalan dilemparkan oleh para netizen, iaitu adakah skuad Pahang tersilap langkah dengan menaturalisasikan Kiko telebih dahulu sebelum berusaha mendapatkan Natxo?

Atau adakah pihak JDT bijak menghidu peluang yang terhidang dengan memulakan proses mendaftarkan Natxo yang juga beraksi di posisi yang sama seperti adiknya sebagai pemain tempatan?

Impak Insa bersaudara kepada Harimau Malaya

Walau apapun polemik yang berlaku, tidak dapat dinafikan perpindahan Kiko dan Natxo bakal menjadi salah satu lipatan sejarah liga Malaysia.

Kejayaan mendaftarkan kedua-dua pemain sebagai pemain tempatan bermakna Malaysia telah mendapat tonik berharga yang boleh diharapkan untuk mewakili Harimau Malaya.

Kedua-dua pemain boleh beraksi di pelbagai posisi tengah dan juga pertahanan, di bawa Kiko pernah bermain di posisi pertahanan tengah semasa di Arema, manakala Natxo akan menjadi ‘pivot’ penting bagi Harimau Malaya.

Kesimpulan

Semoga Natxo dapat menyesuaikan diri dengan suasana liga Malaysia dan dapat bertindak pantas mengadaptasikan dirinya dengan corak permainan liga tempatan seterusnya meninggalkan impak yang besar kepada kelabnya, liga dan skuad negara.

Manakala bagi Kiko pula, beliau mampu memberikan impak yang lebih besar buat Pahang dan status pemain tempatan yang dimiliki pasti memeberikan kelebihan buat Pahang untuk berhadapan dengan pasukan lawan.

Apa yang perlu dilakukan oleh Kiko ialah berusaha untuk mengawal emosi dan amarahnya apabila beraksi di padang. Seungguhnya kehadiran Natxo dan Kiko banyak mendatangkan impak positif kepada negara berbanding impak negatif.

Semoga mereka berdua akan menggunakan sebaik-baiknya peluang yang diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk beraksi sebagai anak tempatan.

Semoga mereka berdua dapat membalas segala kepercayaan peminat tempatan dan harapan yang diletakkan di bahu mereka untuk membantu Harimau Malaya bangkit di persada antarabangsa.

Nota editor: Artikel ini ditulis oleh Hairi Mohd. Sebarang usaha menyalin semula (COPY PASTE) adalah amat dilarang. Namun anda dialu-alukan untuk ‘SHARE’ artikel ini kepada rakan-rakan anda untuk pembacaan kita bersama.

Anda inginkan artikel anda dibaca jutaan peminat bola sepak tanah air? E-melkan ke [email protected] dalam format microsoft words, 300-800 patah perkataan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN