Beberapa hari lepas, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 29 pemain yang telah dipilih oleh Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk kem latihan pusat skuad kebangsaan yang akan bermula hari ini.
Kem latihan pusat itu merupakan sebahagian daripada persiapan pasukan kebangsaan bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Mongolia pada 22 Mac ini dan kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan pada 27 Mac ini.
Salah seorang pemain yang dipanggil untuk latihan pusat kali ini ialah Natxo Insa pemain berdarah campuran Malaysia dan Sepanyol yang kini beraksi untuk pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Natxo bercakap kepada Berita Harian, dia akan berusaha keras memikat Tan Cheng Hoe untuk berada dalam kesebelasan utama dan tidak sabar untuk beraksi dengan pasukan kebangsaan Malaysia buat kali pertama.
“Selain 13 pemain JDT yang dipanggil, adik saya, Kiko Insa yang kini bermain di Liga 1 Thailand turut tersenarai dan pastinya saya tidak akan kekok walaupun turun pertama kali menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.
“Jadi, saya akan memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin bagi membantu pasukan mencipta kejayaan di pentas antarabangsa sekali gus membalas kepercayaan ketua jurulatih,” katanya.
Musim lalu, kelibat pemain tengah yang berusia 32 tahun itu menarik minat bekas jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada, namun dia memberi alasan belum bersedia untuk menyertai skuad kebangsaan.
Walaubagaimanapun, beliau ingin mengenali corak permainan rakan sepasukan dalam pasukan kebangsaan terlebih dahulu kerana ia merupakan kali pertama beliau digandingkan dengan pemain lain.
“Bagaimanapun, pada peringkat awal saya perlu mengenali setiap pemain lain dengan lebih dekat dan berlatih bersama mereka untuk memahami corak permainan masing-masing. Ia penting bagi memupuk persefahaman,” katanya.