Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa memberikan isyarat bahawa beliau sudah bersedia menyarung jersi Malaysia dibawah kendalian Nelo Vingada.
Perancang utama kelahiran Sepanyol itu sudah mendapat kerakyatan Malaysia dan hanya mahu mula dipanggil pada musim depan selepas menempuh musim yang agak sibuk bersama kelabnya sepanjang musim ini.
Abang kepada tonggak Pahang, Kiko Insa menyertai pasukan JDT pada pertengahan musim dan beraksi dalam 56 perlawanan sepanjang musim ini.
“Saya juga manusia biasa yang perlukan rehat secukupnya. Ikutkan fizikal saya tiada masalah, cuma fikiran saya memerlukan rehat dengan bercuti selepas mengharungi musim yang mencabar.
“Saya bersedia membantu Malaysia dalam aksi antarabangsa bermula tahun depan dan berharap skuad negara dapat meraih keputusan positif apabila bertemu Korea Utara nanti,” katanya kepada berita harian.
Ketiadaan Natxo Insa dalam senarai pemain skuad kebangsaan sering menjadi tanda tanya oleh para penyokong di media sosial. Mereka mahukan Natxo dipanggil ke kem skuad kebangsaan berdasarkan prestasi mantap yang dipamerkan olehnya dalam saingan Liga Super.
Malah, adiknya sendiri Kiko sudah berjaya meraih kap pertama ketika beraksi menentang Syria dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Hang Jebat, Melaka 22 Ogos lalu dengan kini sudah mengumpul empat kap.
“Sebenarnya saya teruja untuk bermain di peringkat antarabangsa. Saya tak pernah dapat peluang dan ini kesempatan terbaik saya merasai pentas antarabangsa bersama pasukan negara,” katanya.
Malaysia bakal mengharungi dua aksi getir berdepan Korea Utara di Buriram, Thailand dalam saingan kelayakan Piala Asia 2019 pada 10 dan 13 November ini.
Kumpulan B saingan kelayakan ketika ini menyaksikan Lebanon di tangga teratas dengan 10 mata, Hong Kong di tangga kedua dengan 5 mata, Korea Utara ketiga dengan 2 mata dan Malaysia keempat dengan 1 mata. Lebanon dan Hong Kong sudah beraksi empat perlawanan manakala Korea Utara dan Malaysia kurang satu perlawanan.
Setakat ini skuad Harimau Malaya masih belum mencatat sebarang kemenangan sejak Nelo Vingada dilantik sebagai jurulatih. Jika tewas kepada Korea Utara, peluang skuad negara untuk ke Piala Asia 2019 sudah tertutup.