Kredibiliti Natxo Insa sejak kebelakangan ini sering menjadi mangsa pertikaian para peminat selepas mereka melihat kepada faktor umur serta impak pemain tersebut buat pasukan di atas padang.
Misalnya, kehadiran Insa bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) baru-baru ini kurang disenangi segelintir peminat kerana beliau dianggap lebih banyak memperlahankan corak permainan.
Beberapa kritikan terus bersambung setelah nama beliau dipilih untuk mengikuti kem latihan Harimau Malaya bagi mengharungi saingan Kelayakan Piala Asia 2027 akan datang bertemu Nepal.
“Kenapa pemain berusia 39 tahun ini masih terpilih untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan akan datang?”
Mungkin itu antara pertikaian yang sering ditimbulkan oleh segelintir peminat kerana tidak berpuas hati mengapa Natxo layak dipilih untuk bersama-sama Malaysia di pentas antarabangsa.
Namun harus diingatkan, hanya pemain tinggi lampai itu sehingga kini tampil konsisten beraksi di pentas tertinggi Asia pada saingan musim ini bersama JDT.
The Best Of Natxo Insa
#JDT#LuaskanKuasamuJohor pic.twitter.com/BJtUjQsq3U
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) May 28, 2020
Beberapa kelab gergasi bertaraf tinggi seperti Pohang Steelers, Shanghai Port, dan Buriram United sudah pun dihadapi Natxo yang beraksi selaku kesebelasan utama di posisi tengah.
Peneraju utama kekuatan JDT di posisi tengah itu mungkin tidak mampu menawarkan bantuan serangan berkualiti atau kepantasan mencipta siri serangan buat pasukan tersebut.
Tetapi, Natxo merupakan pemain yang sangat efektif musim ini daripada segi bantuan pertahanan dan melakukan ‘kerja kotor’ untuk menghentikan momentum serangan dicipta pasukan lawan.
Kekuatan fizikal dan pakar daripada perebutan bola di udara menjadikan Natxo selaku pemain tengah bertahan yang serba lengkap selain mempunyai pengalaman cukup luas.
Di sebalik terbatas daripada segi usia, Natxo menggunakan segala kelebihan ada untuk menjadikannya terus kekal relevan di Malaysia pada saingan musim ini.
Salah satu keupayaan terbaik beliau terarah kepada kualiti hantaran-hantaran yang sangat tepat serta bijak untuk mengawal tempo permainan mengikut situasi.
Walaupun Peter Cklamovski turut menyenaraikan beberapa lagi pemain tengah lain untuk aksi bertemu Nepal, keupayaan Natxo juga tidak boleh dipertikaikan musim ini untuk menjadikan dirinya antara jeneral Harimau Malaya.