Pemain tengah kebangsaan, Natxo Insa menjadi antara paling mencuri tumpuan untuk saingan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung tidak lama lagi di Qatar.
Menjadi antara pemain paling senior dalam kem kebangsaan, sudah tentu pengalaman dan nasihat berguna ditagih untuk Natxo membimbing bintang muda lain di saingan tersebut.
Nama Natxo bukan lagi suatu yang asing buat bola sepak tempatan biarpun sedikit sepi di pentas antarabangsa bersama pasukan Harimau Malaya.
Apa tidaknya, Natxo menjadi antara tonggak memainkan peranan penting untuk Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi kualiti dimiliki beliau di atas padang.
Pastinya kualiti tersebut ditagih untuk membantu Malaysia pula bagi berdepan cabaran pasukan lawan dalam saingan Piala Asia tidak lama lagi.
Menurut Natxo kini, beliau melihat Malaysia memiliki skuad cukup berkualiti terutama sekali membabitkan bakat-bakat muda turut dipanggil seperti Arif Aiman Hanapi.
Bersama sentuhan berbisa Kim Pan-gon, pemain warisan itu yakin Harimau Malaya mampu sesuatu sangat positif untuk memulakan saingan pertama Kumpulan E berdepan Jordan.
“Terus terang skuad kita adalah sebuah pasukan yang amat baik, mempunyai ramai pemain muda yang hebat-hebat belaka.
“Ia secara keseluruhannya baik untuk semua pihak,”kata pemain tersebut yang sebelum ini pernah beraksi di Eropah bersama beberapa pasukan gergasi menerusi laporan dikeluarkan oleh Arena Metro.
Selepas bertemu Jordan, skuad kendalian Pan-gon juga akan menghadapi aksi seterusnya menentang Bahrain pada 20 Januari serta perlawanan terakhir bersama gergasi Asia, Korea Selatan.
Pada masa sama, Natxo juga menyeru rakan sepasukan lain supaya memberikan tumpuan sepenuhnya serta tidak sesekali tertekan dalam setiap perlawanan dihadapi.
“Pemain bekerja keras bermain dengan baik, ia adalah perkara yang baik untuk negara.
“Para pemain tidak boleh meletakkan tekanan yang melampau kepada diri sendiri. Perlu sentiasa menghormati satu antara lain,” katanya akhir sekali.
Selain Natxo, Malaysia juga mempertaruhkan beberapa lagi pemain berkualiti tinggi seperti Faisal Halim, Ahmad Syihan Hazmi, Afiq Fazail, Dion Cools, serta beberapa nama lagi untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa dalam dunia bola sepak.