Juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mencatat keputusan positif dalam aksi persahabatan pra-musim terakhir berdepan kelab ternama Rusia, Spartak Moscow apabila terikat 1-1.
Dalam aksi yang berlangsung di Jebel Ali Football Centre, Dubai itu, aksi kedua-kedua pasukan tampak seimbang pada awal permainan.
Namun perlawanan agak tercemar dengan tindakan pemain tengah JDT, Natxo Insa yang bertindak menolak pemain lawan selepas pertembungan 50-50 menyebabkan keadaan menjadi tegang sehingga memaksa pengadil meredakan pemain kedua-dua pasukan.
Skuad kendalian Benjamin Mora terlebih dahulu mengejutkan juara 10 kali Liga Rusia tersebut dengan jaringan pembukaan pada minit ke-23 menerusi sepakan penalti Bergson da Silva selepas pemain JDT dijatuhkan dalam kotrak penalti.
Spartak Moscow kembali memperkemaskan permainannya bagi memburu jaringan penyamaan dengan melancarkan serangan demi serangan yang memaksa barisan pertahanan JDT bekerja keras mempertahankan kelebihan.
Akhirnya gol yang dicari-cari menjelma pada minitk ke-70 hasil penyudah Aleksandr Sobolev yang memanfaatkan hantaran dari sepakan penjuru.
Tekanan demi tekanan yang diberikan oleh kelab Rusia tersebut mungkin menyebabkan JDT bertindak melengahkan permainan. Namun pendekatan tersebut jelas tidak digemari sehingga perkara tersebut diciap menerusi akaun Twitter rasmi pasukan berkenaan.
Time being wasted in a friendly, seen it all now 🙏#SpartakJohor | 🇷🇺 1-1 🇲🇾
— FC Spartak Moscow (@fcsm_eng) February 5, 2022
Taktik untuk melengahkan permainan bukanlah perkara asing dalam bola sepak, namun mungkin ia dianggap tidak sepatutnya dilakukan dalam aksi persahabatan.
Tamat perlawanan, kedudukan terikat 1-1 yang pastinya keputusan yang cukup baik buat JDT sebelum pulang semula ke tanah air untuk persiapan akhir sebelum bermulanya saingan Liga Malaysia 2022.