Natxo Insa Sudah Bersedia Bertemu Kiko Insa Dalam Perlawanan 2 Pasukan Teratas

Antara perkara yang menarik di dalam perlawanan Pahang vs JDT malam ini adalah pertemuan Insa Bersaudara:

Baca juga: Natxo vs Kiko: Perseteruan Insa Bersaudara Dalam Liga Malaysia

Naxto sudah memenangi hati penyokong JDT

Kem JDT membuat kejutan apabila membawa pulang seorang lagi generasi Insa ke Malaysia iaitu Natxo Insa daripada kelab Sepanyol Levante UD.

Berbeza dengan Kiko, Natxo mempunyai reputasi yang lebih besar dalam arena bola sepak dan berita perpindahannya ke JDT telah memberikan impak yang cukup besar dalam kalangan pengamal media baik di Malaysia mahupun di Indonesia.

Aksi ‘debut’ nya bersama JDT semasa aksi perlawanan ke-14 Liga Super Malaysia, menentang Pulau Pinang di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin telah mendapat pujian ketua jurulatih JDT yang berasal dari Portugal, Ulisses Morais.

Natxo Insa telah memainkan peranan penting selaras dengan label ‘bintang’ yang diletakkan pada dirinya. Beliau berjaya bertindak sebagai pemain ‘maestro’ yang ampuh mengemudi jentera tengah.

Gambar: JOHOR Southern Tigers

Sesuai dengan peranannya sebagai pemain tengah pertahanan no.6 (centre defensive midfielder) beliau berjaya memberikan sumbangan hebat semasa pasukan bertahan menyerap asakan pihak lawan.

Beliau juga berjaya meringankankan tugas Safiq Rahim apabila beliau berjaya memberikan sumbangan hebat ketika JDT mengerakkan serangan ke kubu lawan.

Semasa penampilan sulungnya bersama JDT, Natxo Insa hampir-hampir berjaya menjaringkan dua gol spektakular, namun percubaannya dari jarak jauh terkena tiang dan palang gol tatkala pada waktu itu penjaga gawang telah berjaya ditewaskan.

Namun, pada perlawanan kedua beliau, iaitu dalam saingan Piala Malaysia 2017, Natxo akhirnya berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol.

Gol jaringannya berjaya membantu JDT menang 4-0 ke atas pasukan Sarawak FA yang turun tempang tanpa penggempur utama mereka Mateo Roskam.

Sarawak FA pada awalnya mampu memberikan saingan dengan gerakan-gerakan yang direncanakan pemain tengah muda import mereka, Milos Raickovic dan para pemain muda tempatan lain.

Ketiadaan Roskam, ditambah dengan faktor pemain-pemain JDT yang lebih berpengalaman di samping faktor keletihan akibat perjalanan jauh dan jadual perlawanan padat meyaksikan skuad ‘Bujang Senang’ akhirnya rebah di Larkin.

Sekali lagi, Natxo Insa memainkan peranan penting di jentera tengah JDT.

Malam ini: Natxo vs Kiko

Kemasukan Kiko dan Natxo sebenarnya merupakan ‘rencah’ penting yang menjadikan persaingan liga Malaysia menjadi lebih menarik.

Usaha JDT membawa masuk Natxo Insa selepas Pahang FA membawa masuk Kiko Insa enam bulan lebih awal telah mencetuskan perang psikologi dan perang mulut dalam kalangan kelompok netizen terutamanya penyokong Pahang dan JDT.

Gambar: Pahang FA

Ada sesetengah penyokong kedua-dua buah pasukan dilihat cuba memprovokasi pasukan lawan masing-masing dengan menggambarkan kehebatan skuad pencari bakat mereka yang telah berjaya membawa Insa bersaudara ke Malaysia.

Pihak penyokong Pahang mendakwa bahawa skuad pencari bakat mereka bertindak pantas dan bergerak beberapa langkah ke hadapan kerana berjaya membawa Kiko Insa ke Malaysia.

Usaha mereka telah ‘membuka mata’ JDT untuk mendapatkan abangnya iaitu Natxo Insa. Sesetengah penyokong Pahang juga mendakwa JDT tidak berusaha lebih kerana kelihatan hanya seperti menyambung usaha yang dilakukan oleh Pahang FA.

Manakala bagi pihak penyokong di sebelah Selatan Malaysia pula, mereka mendakwa bahawa pasukan JDT bertindak dengan lebih efektif dan aktif untuk mendapatkan Natxo Insa.

Ini kerana umum mengetahui usaha untuk mendapatkan si abang adalah lebih sukar kerana status abangnya yang bermain di kelab terkenal Sepanyol, malah Natxo insa didakwa lebih bernilai berbanding dengan adiknya.

Terdapat juga suara-suara nakal yang mendakwa Pahang tidak bertindak bijak menilai tindakan mereka kerana dikatakan tergesa-gesa membawa masuk Kiko Insa tanpa cuba memikat si abang, Natxo Insa yang bermain di posisi yang sama seperti adiknya.

Walaupun Natxo Insa ditandatangi dengan harga yang pastinya lebih mahal namun daripada aspek kualiti permainan, serta pasukan beliau sebelum ini, nilai tambah yang akan dibawa oleh pemain tersebut kepada pasukan JDT dianggap lebih berbaloi.

Kemasukan Natxo Insa ke JDT adalah ibarat membawa masuk ‘marquee player’ sekali lagi ke dalam liga Malaysia.

Hal ini dikatakan demikian kerana peluang Pahang FA untuk mendapatkan si abang akan menjadi tipis setelah menandatangi si adik kerana kedua-dua mereka bermain di posisi yang sama.

Pelbagai persoalan dilemparkan oleh para netizen, iaitu sama ada skuad Pahang FA tersilap langkah dengan membawa masuk Kiko telebih dahulu sebelum berusaha mendapatkan Natxo Insa.

Atau pihak JDT bertindak bijak dengan menghidu peluang yang terhidang dengan bertindak pantas memulakan proses mendaftarkan Natxo Insa sebagai pemain tempatan.

Pihak JDT dikatakan telah menyatakan hasrat untuk memiliki Natxo Insa sejak bulan Februari, iaitu sebulan selepas Pahang FA membawa masuk Kiko Insa ke Pahang FA.

Rumusan

Semua itu yang menjadikan bola sepak ini sukan yang hidup dan penuh emosi. Apa sahaja nilai di luar padang, akan dijawab di dalam perlawanan malam ini.

JDT dan Pahang telah mewujudkan perseteruan moden di dalam bola sepak Malaysia. Tidak keterlaluan untuk dikatakan, perseteruan yang terbesar dalam beberapa tahun ini.

Pasukan ‘Insa’ yang mana akan menang malam ini?

Nota Editor: Artikel ini adalah dipetik dari penulisan penulis bebas Hairi Mohd. Anda boleh mengikuti Facebook beliau untuk lebih banyak kupasan bola sepak terkini.

Leave a Reply