‘Naturalisasi Jadi Punca’ – Salah Satu Penemuan Badan Penyiasat Punca Harimau Malaya Bungkus Awal Di Piala AFF

Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya telah pun menemui punca kegagalan Harimau Malaya setelah ditubuhkan pada 7 Januari lalu bagi mencari faktor kelemahan skuad negara ketika beraksi di saingan Piala AFF 2020.

Sepanjang penubuhan, badan ini telah pun bersidang sebanyak 4 kali yang bermula pada 12, 14, 16, dan 20 Januari 2022.

Ahli-ahli badan siasatan tersebut terdiri daripada bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Dato’ Alex Soosay; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli; bekas Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Mohd Isa; bekas instruktur kejurulatihan AFC, Ganasegaran Suberamaniam; bekas kapten pasukan kebangsaan, Shukor Adan dan Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

yang baharu, Scott O’Donell.

Melalui laporan sidang media yang dijelaskan di laman web rasmi FAM, badan siasatan tersebut menemui 10 sebab kegagalan tersebut yang disampaikan oleh Datuk Dell Akbar sendiri selaku Pengerusi Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya seperti berikut:

1. Ketiadaan Pemain ‘Core

Faktor tiadanya khidmat sejumlah besar ‘core players’ untuk ke Singapura mendedahkan kelemahan proses komunikasi di antara ketua jurulatih dan pengurusan pasukan serta Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan.

Ketua jurulatih beranggapan tidak mendapat sokongan apabila beliau menamakan beberapa ‘core players’ daripada kelab-kelab tertentu.

Pengurusan pasukan pula kelihatan tidak berani untuk memberikan sokongan kepada pemilihan beliau ketika Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM menegaskan bahawa isu sebegitu tidak timbul kerana mana-mana pemain pun boleh diperolehi oleh ketua jurulatih untuk dipilih beliau.

 

2. Tempoh Persiapan Yang Singkat

Tempoh persiapan singkat kerana penganjuran TM Piala Malaysia 2021 yang masih berlangsung sepanjang November 2021 ternyata menjejaskan perancangan latihan pusat skuad Harimau Malaya.

Seharusnya tempoh latihan minimum diperuntukkan dengan FAM perlu mengambil inisiatif mengadakan perbincangan bersama pihak penganjur liga iaitu MFL dan pasukan-pasukan supaya objektif ini dapat dicapai.

 

3. Pandemik COVID-19

Faktor pandemik COVID-19 tidak ditangani sebaik mungkin, terutama daripada segi kekangan yang terpaksa dihadapi pemain serta faktor psikologi yang menjejaskan pemain yang terikat di dalam persekitaran ‘bubble’ sewaktu kejohanan berlangsung.

 

4. Penetapan Sasaran

Penetapan sasaran yang dilakukan secara sendirian atau ‘silo’ oleh pengurus pasukan yang menjadi satu bentuk tekanan kepada pasukan kejurulatihan dan pemain-pemain.

 

5. Kemampuan Pemain-Pemain

Pemilihan pemain-pemain yang tidak bersedia untuk menangani tuntutan permainan di peringkat lebih tinggi di pentas antarabangsa. Kemahiran teknikal, pengalaman dan aspek fizikal (physical conditioning) yang terhad mengakibatkan pemain-pemain kelihatan tenggelam ketika pertemuan dengan pasukan Vietnam dan Indonesia.

 

6. Percaturan Taktikal

Percaturan taktikal dengan memaksa pemain menyesuaikan diri dalam keadaan formasi berbeza juga tidak berkesan. Ia kerana tiadanya tempoh latihan yang mencukupi untuk membolehkan pemain-pemain memahami sebarang perubahan taktikal ketika permainan berlangsung.

 

7. Kekurangan Pasukan Sokongan (Multi-disciplinary)

Tiadanya pasukan sokongan khusus yang komprehensif daripada FAM bagi aspek penting yang diperlukan oleh pasukan kebangsaan seperti pasukan sokongan teknikal serta sains dan perubatan sukan yang mencukupi.

 

8. Keharmonian Di Antara Pemain-Pemain

Faktor keharmonian di antara pemain-pemain tidak diberi perhatian serius. Kehadiran pemain naturalisasi yang gagal beraksi baik mencipta tekanan tambahan kepada kumpulan pemain-pemain lain.

 

9. Pemilihan Pemain Naturalisasi

Strategi naturalisasi pemain untuk pasukan kebangsaan tidak berkesan, dengan program naturalisasi yang lebih teliti dan berstruktur wajar dilakukan untuk inisiatif sama pada masa hadapan.

 

10. Kebajikan Pemain-Pemain

Ketiadaan persediaan awal dari segi rancangan pemakanan dan nutrisi yang terancang untuk pemain-pemain ketika di Singapura. Pihak pengurusan menghadapi kesukaran apabila penganjur hanya menyediakan “pack food”.

Badan siasatan bebas tersebut juga mengumpul beberapa maklumat menerusi sesi percambahan idea dalam kalangan ahli untuk dikemukakan agar perhatian dan tindakan lanjut dapat diambil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ia lebih kepada bertujuan agar badan utama bola sepak negara tersebut dapat membuat penambahbaikan serta memperbaiki kelemahan yang ada sebagai panduan masa depan bola sepak negara.

Berikut merupakan 10 cadangan dan langkah penambahbaikan yang diberi oleh badan siasatan khas tersebut:

1. Tempoh Minimum Latihan Pusat

Beberapa siri kem latihan berpusat skuad kebangsaan perlu dimasukkan dalam kalendar FAM setiap tahun, dengan tempoh minimum 14 hari perlu diperuntukkan bagi kem persiapan sebelum menghadapi sesuatu kejohanan penting di peringkat antarabangsa. Minimum dua perlawanan persahabatan antarabangsa perlu dipertimbangkan dalam mempersiapkan pasukan kebangsaan.

 

2. Keperluan Pasukan ‘High Performance’

Adalah menjadi keperluan mandatori untuk pasukan kebangsaan berpaksikan data dan statistik dengan memiliki pasukan ‘high performance’ yang mengandungi staf teknikal, sains dan perubatan sukan serta penganalisa prestasi secara sepenuh masa.

Ini boleh dilakukan dengan menambah baik Unit Pasukan Kebangsaan menerusi pewujudan pasukan multi-disciplinary sepenuh masa untuk mengurus dan meningkatkan prestasi pasukan negara secara lebih berstruktur dan evidence based menerusi pewujudan jawatan penting seperti pengurus prestasi tinggi atau ‘high performance manager’, pakar sains sukan, pasukan perubatan lengkap, pakar psikologi dan nutrisi serta elemen lain seperti peralatan dan teknologi yang menepati keperluan peringkat saingan tertinggi.

Pengurus prestasi tinggi dan penganalisis video boleh diambil secara kontrak untuk digunakan sepenuhnya bagi setiap pasukan kebangsaan di bawah naungan FAM.

Pelantikan seorang pegawai statistik juga perlu untuk memastikan match summary disimpan sebagai usaha mengumpul data, latar belakang, profil dan jumlah caps/jaringan pemain dan beliau perlu bekerjasama rapat dengan pegawai media pasukan.

 

3. Pemansuhan Pengurus Pasukan dan Pewujudan Ketua Delegasi

Tidak meneruskan amalan pelantikan Pengurus Pasukan dalam kalangan pegawai-pegawai FAM. Jawatan Pengurus Pasukan seharusnya diberikan kepada Ketua Jurulatih (Coach cum Manager). Jawatan Ketua Delegasi sebaliknya boleh diperkenalkan jika perlu dan terhad bagi tugas-tugas “ceremonial” sahaja.

 

4. Komposisi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan

Komposisi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM harus dianggotai beberapa ahli yang berkelayakan daripada segi teknikal bola sepak – sama ada jurulatih ataupun bekas-bekas pemain yang pernah beraksi di peringkat tertinggi.

 

5. Kajian Teknikal Untuk Mencipta Nilai Tambah

Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM perlu melakukan kajian teknikal dan cadangan secara konsisten untuk membantu perancangan serta memberi nilai tambah kepada pasukan kebangsaan.

 

6. Pemilihan Pemain

Pangkalan data untuk menilai prestasi pemain-pemain secara seragam perlu diwujudkan, bagi membantu ketua jurulatih untuk membuat pemantauan dan pemilihan pemain secara evidence based. Ini termasuk memastikan pemain-pemain yang terpilih mendapat minit permainan yang menepati keperluan asas, dan langkah-langkah susulan jika terdapat kekurangan daripada aspek berkenaan.

Perlu memiliki ‘pool of player’ yang lebih besar serta menyeluruh meliputi semua kelab dan ini sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pemain-pemain dari sesuatu kelab.

Proses komunikasi di antara pegawai, ketua jurulatih serta pemain-pemain yang terpilih perlu ditambah baik dalam menangani faktor tekanan ataupun gangguan luar yang boleh menjejaskan fokus pemain-pemain.

 

7. Keperluan MFL Menyesuaikan Jadual Skuad Kebangsaan

MFL dan FAM perlu menyelaras dan menyesuaikan penjadualan liga dengan menjadikan persiapan skuad kebangsaan sebagai keutamaan. Faktor-faktor seperti penajaan dan penyiaran perlu diuruskan dengan bijak supaya tidak menjejaskan perancangan skuad kebangsaan menghadapi kejohanan-kejohanan penting.

 

8. Pelan Kontingensi Untuk Menangani COVID-19

FAM perlu lebih teliti, proaktif dan komprehensif dalam menangani situasi COVID-19. Perancangan alternatif seperti latihan di luar negara boleh dipertimbangkan demi kelangsungan persiapan skuad kebangsaan.

 

9. Keutamaan Sasaran Skuad Kebangsaan Pada 2022

FAM perlu memberi keutamaan (prioritise) kepada kejohanan-kejohanan yang ingin dicapai pada tahun 2022 kerana tidak mungkin kesemua kejohanan yang akan disertai akan dapat dicapai sasarannya secara keseluruhan.

 

10. Menyediakan Templat Laporan Yang Lebih Berinformasi

Satu templat untuk menyiapkan laporan perlu disediakan oleh FAM untuk diikuti oleh semua jurulatih pasukan kebangsaan kerana penilaian lengkap selepas sesuatu penyertaan pertandingan penting untuk rujukan dan panduan kepada penyediaan pasukan kebangsaan untuk tugasan seterusnya.

Sumber:
FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN