Nasir Hamzah: Saya Tak Mahu Sangat Pun Jawatan Timbalan Presiden Yang Ditawar ‘Geng EGM’

Datuk Muhammad Nasir Hamzah mengaku akan mengundur diri dengan rela hati daripada jawatan yang dimenanginya sekiranya Pesuruhjaya Sukan membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf Kongres Luar Biasa (EGM) Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) anjuran ‘Geng EGM’.

“Saya tidak pernah menderhaka kepada Tuanku [Presiden FAS],” kata bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) itu yang telah dilantik menjadi Timbalan Presiden FAS dalam EGM tersebut.

“Tadi saya beritahu Raja Muda Selangor (Presiden FAS) jikalau saya boleh membantu FAS dalam mana-mana hal, saya bersedia. Bukannya saya nak sangat [jawatan tersebut],” dedahnya ketika ditemui media pada perlawanan akhir Kejohanan Piala DYTM Raja Muda Selangor 2018 di Padang SUK petang semalam.

“Kebetulan kumpulan itu [geng EGM] menjemput saya [menjadi Timbalan Presiden]. Dan saya difahamkan mereka berhak menuntut EGM,” kata beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf. “Cuma dari segi teknikalnya, saya tak tahu sama ada [EGM] cukup korum atau tidak. Itu kita serahkan kepada Pesuruhjaya Sukan,” tambah beliau lagi.

Ketika ditanya sama ada beliau telah diperalatkan oleh Geng EGM untuk memporak-perandakan FAS, Datuk Muhammad Nasir Hamzah tidak menafikan dakwaan tersebut – tetapi dalam nada berhati-hati.

“Kalau nak kata diperalatkan pun susah juga. Nak kata tidak diperalatkan pun susah juga. Jadi bagi saya, kita biarlah perkara ini berlalu sahaja,” katanya.

Beliau turut mendedahkan reaksi positif Presiden FAS, DYTM Tengku Amir Shah ketika bertemu. “Tengku Amir seorang insan yang berbudi bahasa tinggi. Baginda langsung tidak menunjukkan reaksi marah,” katanya.

Datuk Nasir Hamzah (tengah) berjabat tangan dengan Presiden FAS, DYTM Tengku Amir Shah dalam acara penyampaian trofi perlawanan akhir Piala DYTM Raja Muda Selangor 2018 di Padang SUK petang semalam.

Sebagai rekod, persiapan FAS menjelang musim 2019 terganggu ketika ini berikutan tindakan sebilangan ahli gabungan persatuan itu yang menganjurkan EGM di Hotel Nouvelle Seri Kembangan pada 8 November 2018 lepas.

Kumpulan ahli gabungan persatuan tersebut yang dikenali dengan nama ‘Geng EGM’ mendakwa telah mendapat sokongan 52 ahli gabungan daripada jumlah keseluruhan 96 ahli – sekaligus mendapat lebih 50% sokongan korum untuk mengadakan EGM sebagaimana yang termaktub dalam statut FAS [Artikel 30 – 1 (b)].

Baca: Kronologi Mengapa Kongres Luar Biasa (EGM) FAS Tidak Sah

Tetapi FAS menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya, Dr. Johan Kamal Hamidon memberitahu EGM tersebut tidak sah kerana sebahagian besar ahli gabungan telah pun menarik balik tandatangan usul dan jumlah ahli gabungan telah meningkat daripada 95 kepada 121.

Kemelut kes ini sedang disiasat oleh Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Oth­man . Dalam kenyataan yang disiarkan di akhbar Kosmo pada Rabu lepas, Zaiton memberitahu keputusan akan dikeluarkan dalam masa 2 hari.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN