Betapa lajunya masa berlalu. Kami seolah-olah tak percaya Hatem Ben Arfa kini sudah berusia 29 tahun. Rasanya seperti baru semalam kami kenal beliau sebagai bintang muda Lyon.
Sebagai salah satu bintang muda Perancis ketika era penghujung karier Zinedine Zidane, Ben Arfa tak terlepas dari gelaran ‘the next Zidane’.
Bagaimanapun pada usia 29 tahun, pencapaiannya yang paling membanggakan adalah kejuaraan berganda sebagai juara Ligue 1 dan Coupe de la Ligue bersama Marseille pada musim 2009/2010 – pencapaian 6 tahun lepas.
Selepas itu, beliau berpindah ke England (Newcastle United dan Hull City). Sejak itulah karier beliau semakin merudum.
Mujurlah selepas kembali ke Ligue 1 (kali ini bersama OGC Nice), beliau berjaya merealisasikan potensi sebenarnya. Pada musim 2015/2016, Ben Arfa menjaringkankan 17 gol untuk membantu Nice menduduki tangga ke-4 Ligue 1.
Kini semakin tua dan semakin matang, mempunyai nasihat penting untuk seorang lagi bintang muda yang sedang merudum prestasinya – Mario Balotelli.
Perubahan yang dilakukan Ben Arfa
Dalam satu temu ramah ringkas bersama akhbar Itali, La Gazzetta dello Sport, Ben Arfa menjelaskan beliau hanya boleh menyalahkan dirinya sendiri atas kejatuhan kariernya di England.
“Saya muda dan tak bersedia menghadapi tekanan. Saya terlalu memandang ke depan. Jadi bila saya tak main, saya jadi tak penyabar, marah dan gopoh.”
Bagaimanapun seperti lelaki dewasa yang matang, Ben Arfa berterima kasih kepada era ‘kejatuhannya’.
“Perjalanan (karier) saya mempunyai banyak naik dan turun. Saya naik mendadak semasa muda kemudian jatuh mendadak. Saya banyak belajar dari kesilapan lepas saya. Tapi saya tak menyesal.”
Nasihat untuk Balotelli
Ditemuramah oleh akhbar Itali, sudah pastilah Ben Arfa akan ditanya soalan mengenai Mario Balotelli.
Seperti beliau, Balotelli dititip sebagai penyerang muda yang berbakat besar pada satu masa dulu tetapi sedang merosot kariernya.
“Saya tertanya-tanya juga bagaimana dia (Balotelli) boleh mensia-siakan bakatnya. Saya harap dia bertanya soalan sama kepada diri sendiri dan bagaimana cara hidupnya mempengaruhi prestasinya di padang,” komen Ben Arfa.
“Peningkatan karier saya bermula secara berperingkat-peringkat. Dia masih muda. Malah situasi saya di Hull lebih teruk daripada situasinya di AC Milan.”
Suka falsafah Guardiola
Ben Arfa juga tak terlepas bercakap mengenai Atletico Madrid dan Diego Simeone, finalis UEFA Champions League 2016 pada Sabtu nanti.
“Saya hormat kekuatan Atletico. Tapi falsafah mereka tak sesuai untuk saya. Saya rasa falsafah mereka adakan pudar popularitinya kerana intipati bola sepak lebih memihak kepada falsafah Guardiola.”
Ben Arfa turut menambah:
“Saya lebih sesuai dan lebih suka bermain dalam falsafah Guardiola.”
Baca juga: Hatem Ben Arfa: 18 Kelab Sedang Beratur Untuk Beli Saya Pada Musim Depan