Nasib Simon McMenemy Bersama Garuda Ibarat Telur di Hujung Tanduk

Desakan demi desakan agar Simon McMenemy mengosongkan kerusi ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia semakin kencang terutama di dalam media sosial.

Penyokong Sang Garuda kelihatan sudah mula berpatah arang dengan McMenemy yang dikatakan tidak membawa sebarang perubahan positif kepada corak permainan skuad kendaliannya.

Indonesia menghadapi kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 dengan begitu buruk selepas gagal meraih sebarang mata sekalipun sudah bermain empat perlawanan dan terperosok di dasar kumpulan G.

Lebih parah lagi, mereka telah pun melepaskan 14 gol ketika berdepan Malaysia, Thailand, UAE serta Vietnam dan cuma menjaringkan tiga gol.

Tempoh khidmat McMenemy belum pun mencecah setahun selepas beliau mula dilantik pada 20 Disember tahun lepas dengan perjanjian kontrak selama dua tahun.

Bekas jurulatih pasukan Filipina itu hadir dengan reputasi cemerlang selepas membawa pasukan Bhayangkara FC menjuarai Liga 1 Indonesia pada tahun 2017.

Sasaran yang telah diberikan kepada jurulatih berusia 41 tahun itu adalah menjuarai Piala AFF yang akan berlangsung pada tahun hadapan. Namun begitu berdasarkan perkembangan semasa, kedudukan McMemeny dijangka tidak kekal lama.

Kemungkinan besar masa depan beliau akan ditentukan selepas selesai Kongres Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang dijadualkan berlangsung pada 2 November ini.

Salah seorang Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) PSSI, Refrizal dalam kenyataanya kepada BolaSport menjelaskan beliau dan anggota Exco lain tidak dapat memberi sebarang kata putus mengenai nasib jurulatih kelahiran Aberdeen, Scotland itu.

“Memang setelah kekalahan kepada Vietnam tempoh hari, banyak anggota Exco PSSI yang memberikan komen. Tetapi tidak lama lagi kan ada Kongres PSSI.”

Salah satu agenda utama kongres tersebut adalah membuat pemilihan jawatankuasa baharu PSSI untuk penggal 2019-2023. Ketua Umum PSSI yang baharu berhak untuk menentukan masa depan McMenemy.

Oleh yang demikian sudah tentu calon-calon yang mahu merebut ‘kerusi panas’ itu sudah mempunyai nama-nama tertentu untuk menjadi ketua jurulatih baharu pasukan kebangsaan Indonesia.

“Mungkin nasib Simon McMenemy akan ditentukan saat kongres nanti apabila sudah ada pengerusi baharu,” kata Refrizal yang juga merupakan anggota Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR-RI).

“Tetapi menurut saya, lebih balik beliau sedar diri dan berundur lebih awal sebelum Kongres PSSI bermula.” tambahnya lagi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN