Badan pengendali liga, Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) memerlukan masa dua hari lagi untuk meneliti dokumen dan pelbagai aspek sebelum menentukan status sebenar skuad The Fighters itu.
Sebelum ini, ketua jurulatih Felda United, B. Sathianathan mengakui bimbang mengenai kedudukan skuad itu ekoran kegagalan kelab mendapatkan lesen untuk beraksi dalam saingan Liga Super 2018.
Sathia bagaimanapun tetap berharap FMLLP itu akan membuat keputusan yang terbaik dan memberi peluang kepada Felda United untuk terus kekal bersaing dalam liga super musim depan.
“Saya sebagai jurulatih sudah pasti bimbang dan berharap keputusan (mesyuarat) memihak kepada kami.
“Mungkin kami salah kerana gagal dapatkan lesen dan pada masa sama saya harap FMLLP akan memberi peluang beraksi dalam Liga Super dan memperbaiki segala kelemahan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam bercakap kepada media, pihaknya perlu menimbang pelbagai perkara kerana sebarang keputusan bakal menghadirkan impak yang besar.
“Oleh kerana keputusan membabitkan FELDA United FC ini satu hal yang rumit dan mempunyai impak besar, lembaga pengarah meminta sehari atau pun dua hari lagi.
“Permintaan ini bukan disebabkan dokumen dari FELDA belum cukup. Tidak ada apa lagi yang kami minta daripada FELDA sebaliknya hanya berkisar kepada kami sendiri untuk menilai dan buat keputusan,” katanya kepada berita harian.
Dalam perkembangan lain, Kevin turut mengesahkan permohonan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk melakukan penstrukturan semula Terengganu FC II (TFC II) dengan menjadikan kelab berkenaan sebagai pasukan sokongan negeri (feeder club) sudah diluluskan secara bersyarat.
Menurutnya, TFC II perlu mengemukakan dokumen kepada pihaknya berhubung soal penstrukturan pasukan.
“Pada dasarnya, kita beri kelulusan bersyarat dan kami perlu dapatkan beberapa dokumen yang mereka perlu kemukakan.
“Dokumen itu berkaitan struktur kelab yang menunjukkan kedua-dua pasukan di bawah pengurusan sama. Saya yakin hal ini bukan berat untuk dilaksanakan,” katanya.