Bekas pemain Manchester United sekitar tahun 2007 hingga 2015, Luís Carlos Almeida da Cunha atau lebih dikenali dengan panggilan Nani mengingatkan bahawa pemain The Red Devils perlu mengubah sikap ketika beraksi.
Dalam pada itu Nani turut berpendapat bekas kelabnya itu memerlukan lebih pemain berkelas dunia untuk bersaing hebat di pentas domestik dan Eropah.
2018/19 bukanlah musim yang sesuai untuk diingati peminat setia Manchester United selepas kelab tersebut hanya menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris ditangga ke-6 dengan mengumpul 66 mata.
Kemaraan mereka dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah pula terhenti di peringkat suku akhir selepas dikecewakan Barcelona.
United turut tersingkir awal dalam persaingan merebut Piala Carabao dan Piala FA untuk menamatkan musim ini tanpa sebarang piala untuk menjadi kebanggaan.
Melihat kepada perkembangan tersebut, Nani mengakui hakikat perlunya pemain berkelas dunia bagi menggalas tanggungjawab kelab tersohor liga Inggeris itu.
”(Manchester) United memerlukan lebih pemain berkelas dunia. Mengubah sesuatu dan sikap di atas padang.”
”Saya mengingati ketika waktu saya bersama Alex Ferguson, banyak aksi yang kami tidak bermain di tahap terbaik, kami tidak bermain bola sepak yang cantik tetapi dalam 15 minit kami bermain dengan ‘jiwa’ dan menjaringkan gol.”
”Kami sentiasa berlari, bersaing untuk mendapatkan setiap bola. Itu adalah cara kami untuk mencatatkan kemenangan.”
”Mereka (pemain Manchester United) perlu mempunyai lebih keinginan untuk mencipta kemenangan pada setiap aksi di padang, setiap bola, setiap cabaran kerana hanya kerana itu mereka mampu untuk terus meningkat,” jelas Nani memberikan nasihat kepada pemain United.
Bagi menghadapi musim baharu, Manchester United sudah kehilangan khidmat Ander Hererra dan Antonio Valencia yang sudah membuat pengesahan akan meninggalkan pasukan.
Masa depan beberapa pemain seperti Paul Pogba, Romelu Lukaku, Alexis Sanchez, David De Gea dan Juan Mata juga masih tidak menentu.