Situasi Kedah Darul Aman (Kedah) kini boleh dianggap berada pada tahap sangat kritikal daripada segi kewangan sehingga memberi kesan cukup negatif buat perjalanan pasukan musim 2024/2025.
Entah mengapa tatkala pasukan itu bermula begitu gemilang serta serba mewah pada tahun lalu, segalanya tampak sukar untuk dipertahankan dengan baik.
Malah, keadaan menjadi bertambah buruk dengan seolah-olah ia hanya menanti masa untuk terus hancur jika dilihat pada keadaan semasa.
Laporan terbaharu daripada wartawan Astro Arena iaitu Fina Nasrom, cukup untuk membuatkan para penyokong remuk hati memikirkan perjalanan semasa kelab kesayangan mereka.
KDA FC KRITIKAL.
Hr ini memasuki hr ke2 pmain KDA boikot latihan.
Di fahamkan sepanjang 2024, pemain hanya dbyr 1.5 bulan shj. Itu pun secara ansuran.
Slps Habib & Fikri Che Soh ramai lg pemain bakal tinggalkn Kedah. Lebih parah Kedah masih dalam transfer ban.@ASTROARENA pic.twitter.com/Epcx1i78bS
— FinaNasrom (@fnasrom) September 4, 2024
“KDA FC KRITIKAL. Hari ini memasuki hari kedua pemain KDA boikot latihan. Difahamkan sepanjang 2024, pemain hanya dibayar 1.5 bulan sahaja. Itu pun secara ansuran.
“Selepas Habib & Fikri Che Soh ramai lagi pemain bakal tinggalkn Kedah. Lebih parah Kedah masih dalam transfer ban,” jelas kenyataan Fina di media sosial X.
Sejak penghujung musim lalu lagi, Kedah sudah pun mengalami isu kewangan yang mulai kedengaran di media sosial serta menjadi bualan dalam kalangan peminat.
Namun, situasi terus bertambah buruk pada musim ini dengan subjek kewangan terus menjadi cerita utama Kedah sehingga persiapan dilakukan tampil serba kekurangan.
Tanpa penaja utama, pemotongan mata awal musim, dan jersi yang diperkenalkan begitu lewat menghiasi kem Kedah pada musim ini dan seolah pasukan tersebut bakal mengikuti jejak langkah pasukan-pasukan yang ‘hilang’ di peta Liga Malaysia.
Beberapa penstrukturan dibuat oleh penaung kelab iaitu Tan Sri Dr Daud Bin Bakar juga dilihat tidak mampu kini untuk menyelamatkan kapal yang semakin karam di dasar lautan derita.
Persoalannya kini, seberapa lagi pasukan itu mampu bertahan di kancah profesional dengan melihat situasi semasa yang semakin memburuk daripada masa ke semasa?
Tanpa gaji, pastinya sukar untuk para pemain, kejurulatihan atau mana-mana staf memberi keputusan yang baik di atas padang, dengan mereka sekadar memiliki pilihan meninggalkan kelab.
Apapun, kami di Semuanya BOLA berharap segala kemelut yang melanda pasukan itu mampu diselesaikan pada masa hadapan dengan mereka mampu mendapat sokongan kewangan sewajarnya daripada pihak swasta atau sedikit bantuan kerajaan negeri.
Jika ini berterusan, para penyokong Kedah mungkin akan menerima nasib sama dilalui oleh Perlis yang sudah hilang dalam peta bola sepak profesional negara sejak sekian lama.