Nama pemain muda Sri Pahang iaitu Ibrahim Manusi secara tiba-tiba menjadi antara topik perbincangan hangat dalam kalangan peminat bola sepak terutama membabitkan penyokong Sri Pahang menerusi media sosial.
Apa tidaknya, Ibrahim beraksi penuh sejak tiupan wisel perlawanan awal dibunyikan dan kekal membantu pasukan tersebut meraih kemenangan untuk melayakkan diri ke pentas akhir Piala Malaysia 2024/2025.
Manisnya, pemain berusia 23 tahun ini menjadi antara yang membantu pasukan tersebut kini layak ke pentas akhir kejohanan tersebut sejak 11 tahun lalu.
Kali terakhir Tok Gajah melayakkan diri ke pentas final kejohanan berkenaan pada tahun 2014 sewaktu pasukan tersebut menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi penentuan sepakan penalti.
Selepas itu, Tok Gajah gagal untuk melayakkan diri lagi ke pentas akhir dan tidak mencipta sebarang kejayaan untuk mereka mendakap sebarang trofi kejuaraan domestik.
Walaupun begitu, segalanya kini berjaya direalisasikan apabila Ibrahim menjadi antara tonggak penting memacu pasukan tersebut ke pentas akhir selepas mengetepikan Sabah di Stadium Mini Temerloh.
Dibawa masuk sejak awal perlawanan, Ibrahim menggunakan kekuatan fizikal beliau dengan sangat baik untuk menghalang setiap gerakan cuba dijana oleh pemain tengah Sabah.
Malah, beliau juga tampil dengan kerajinan cukup tinggi untuk bergerak serata arah padang demi memastikan aliran bola sentiasa menjadi milik kelab tersebut.
Ibrahim mungkin terbatas daripada segi kreativiti mencipta peluang, namun beliau sangat diperlukan pasukan itu khususnya daripada segi keupayaan fizikal untuk mengekang lawan.
Paling mencuri tumpuan peminat pastinya terarah kepada ketahanan stamina beliau untuk beraksi walau memasuki masa tambahan dengan dirinya kekal tenang berlari sekitar padang untuk membantu rakan sepasukan lain.
Pada usia 23 tahun, jelas Ibrahim masih memiliki tempoh untuk beliau mengembangkan lagi potensi diri serta tampil lebih matang sekali gus membuka jalan buat dirinya mewakili Harimau Malaya suatu hari nanti.
Malah, Ibrahim berpeluang untuk terus membuktikan diri beliau selaku antara pemain tempatan berkualiti di pentas akhir ini dengan kemungkinan juga Peter Cklamovski akan turut hadir menyaksikan saingan tersebut.
Apapun, aksi beliau bersama Sri Pahang sebelum itu jelas wajar dipuji dan tidak hairan mengapa nama Ibrahim mula disebut-sebut dalam kalangan peminat.